Taasub terhadap DAP, Pas beri kesan politik masa depan - Nur Jazlan

NUR JAZLAN
NUR JAZLAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Meskipun DAP dilihat mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang lalu dengan memenangi 46 daripada 47 kerusi yang ditandingi mereka, namun peningkatan undi orang Melayu terhadap Pas perlu juga dinilai oleh orang bukan Melayu.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, kemerosotan undi Melayu juga memberi signifikan besar pada masa hadapan bagi orang bukan Melayu kerana selama lebih 60 tahun parti itu menjadi benteng kepada kemaraan Pas yang boleh anggap sebagai parti cauvinis Melayu Islam.

Jelasnya, dengan trend majoriti pengundi Cina memilih DAP sebagai satu parti untuk kaum mereka, tidak mustahil orang Melayu juga selepas ini akan pilih satu parti saja dan pilihan mereka adalah Pas.

"Sebab itulah apa yang saya nampak kesan jangka panjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN lepas adalah satu hasil yang boleh dianggap sebagai by default.

"Ini kerana walaupun DAP jadi parti paling cemerlang 98 peratus kerusi mereka, namun kemerosotan jenama UMNO yang semakin merudum kerana serangan dari cauvinis dalam DAP telah menggoyahkan UMNO sebagai benteng untuk menyekat kemaraan cauvinisme Pas yang jadikan agama sebagai modal politik.

"Dek kerana doktrin DAP yang mempengaruhi pengundi Cina untuk hanya memilih satu parti sahaja membuatkan sejak lebih dua dekad akhirnya sudah memakan diri apabila pengundi Melayu juga dilihat sudah memilih untuk memberi undi mereka kepada satu parti iaitu Pas," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Jelas Nur Jazlan lagi, dengan imej UMNO yang semakin dirosakkan oleh musuh luar dan orang dalam sendiri membuatkan parti yang memperjuangkan orang Melayu dan dalam masa sama menjaga hak bukan Melayu semakin dipinggirkan.

Kata beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, jika keadaan kronik ini berterusan, maka DAP tiada pilihan lain kecuali mungkin mereka kena pilih Pas untuk membentuk kerajaan di masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi persoalannya, sanggup dan beranikah DAP untuk rujuk semula dengan Pas yang telah ceraikan mereka puluhan tahun dulu?

"DAP sendiri pun tahu bagaimana Pas memainkan pelbagai isu sensitif mengaitkan DAP dalam isu agama dan kaum.

"Malah hari ini biarpun Gerakan bersama mereka dalam Perikatan Nasional, parti bertunjangkan masyarakat Cina itu juga beri layanan tidak adil oleh Pas," ujar beliau.

Mengulas lanjut isu kemerosotan jenama UMNO, Nur Jazlan berkata, nasib malang ini bukan hanya akan merugikan UMNO tetapi juga merugikan mereka yang selama ini sibuk serang parti sendiri dari dalam.

"Ini kerana kerosakan yang UMNO alami sekarang ini bukannya disebabkan oleh seorang pemimpin saja tapi jenama UMNO sendiri yang sudah dirosakkan oleh pelbagai faktor luaran dan dalam seperti yang saya sebut tadi.

"Situasi dalam UMNO ini juga mungkin akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan hari ini.

"Tapi buat masa sekarang ini, saya percaya Kerajaan Perpaduan masih selamat kerana adanya Akta Anti Lompat Parti. Tapi tak tahulah kalau ada MP UMNO yang sanggup nak letak jawatan dan cetuskan PRK lagi.

"Sebab jenis desperado politik ini, mereka sanggup buat apa saja demi nak penuhi hawa nafsu untuk berkuasa," katanya.

Namun beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih ada masa empat tahun lagi untuk meyakinkan pengundi bahawa Kerajaan Perpaduan merupakan pilihan yang terbaik untuk negara.

Jelas Nur Jazlan, semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan di semenanjung ini baik UMNO, PKR dan DAP perlu memikirkan bagaimanakah cara untuk berdepan dengan dakyah Pas serta PN dan memastikan kerajaan hari ini dapat bertahan kukuh hingga habis penggal pentadbiran.