Bayaran royalti selepas isu sempadan perairan selesai: Azmin

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bayaran royalti melibatkan 10 lapangan pengeluaran minyak dan gas kepada Kelantan dan Pahang hanya akan dilakukan selepas isu persempadanan perairan diselesaikan mengikut perundangan sedia ada.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana sebelum ini tidak pernah wujud persempadanan laut antara negeri-negeri di Malaysia.

“Oleh kerana itu, bayaran hasil daripada 10 lapangan pengeluaran ini tidak dibayar kepada mana-mana negeri sehingga persempadanan perairan ditentukan tertakluk kepada perundangan yang sedia ada.

“Selagi isu persempadanan perairan ini tidak diselesaikan, selagi itu ia akan berpanjangan. Baik kita selesaikan sekarang. Bila ia dimulakan, kita boleh tahu lapangan itu milik negeri mana,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Mohamed Azmin berkata, daripada 12 telaga minyak dan gas di kawasan perairan pantai timur, hanya dua telaga iaitu lapangan Bumi South dan Suriya Selatan yang jelas berada di dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisir pantai Kelantan.

10 lapangan lain yang mengeluarkan hasil secara berperingkat mulai 2013 berada di luar kawasan tiga batu nautika dari kesemua negeri terlibat.

Mohamed Azmin, yang menjawab isu bayaran royalti minyak dan gas untuk Kelantan secara terperinci menjelaskan, bayaran tunai oleh Petronas untuk 10 lapangan gas dan minyak telah disalurkan kepada Akaun Terimaan Tidak Diperuntukkan (ATTD) yang berjumlah hampir RM1.2 bilion, untuk tempoh 2013 hingga 2019.

Katanya, keputusan ini dibuat oleh kerajaan BN dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan PH tidak akan letak wang ini sebagai ATTD sebaliknya akan dianggap bayaran tunai akan dibayar kepada Kelantan dan Pahang setelah ditentukan sempadan lautan antara Kelantan dan Terengganu serta Pahang dengan Terengganu,” katanya.

Memberi jaminan bahawa Petronas tidak akan mengabaikan semangat perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA1974), beliau berkata, bayaran itu akan diterima mulai tahun depan selepas urusan persempadan lautan selesai.

Menurut Seksyen 3 (2) Akta Kemajuan Petroleum 1974, Mohamed Azmin berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari semasa ke semasa boleh mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya patut.

“Dalam konteks ini, Perdana Menteri bersetuju supaya bayaran tunai kepada kerajaan negeri dibayar terus oleh Petronas mulai tahun 2020 seperti amalan yang dilaksanakan Petronas kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Perdana Menteri telah maklumkan untuk bayaran Jun 2018 hingga 2019, walaupun ia telah dimasukkan ke ATTD, namun sebaik diputuskan, kita akan bayar kepada negeri yang berhak mendapatnya bermakna tunggakan dari Jun 2018 hingga seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata,Petronas telah membuat pembayaran tunai kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM387.7 juta mulai 2009 hingga Ogos 2019, hasil pengeluaran dua telaga minyak di perairan Kelantan iaitu lapangan Bumi South dan Suriya Selatan.

“Untuk makluman pembayaran bagi Ogos lepas, sejumlah RM16.79 juta telahpun dilunaskan oleh Petronas kepada Kementerian Kewangan untuk maksud ini dan pihak Kementerian Kewangan telah menyalurkan sebanyak 50 peratus daripada bayaran tunai itu kepada kerajaan negeri Kelantan manakala 50 peratus lagi disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik),” katanya. - Bernama