RM140 bilion pelaburan sektor minyak dan gas di Johor

Mohd Hairi ( dua dari kiri) pada merasmikan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Selasa
Mohd Hairi ( dua dari kiri) pada merasmikan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Selasa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor merekodkan nilai pelaburan terkumpul sebanyak RM140 bilion daripada sektor sektor minyak dan gas sejak industri itu dimulakan secara aktif di negeri ini pada awal tahun 2000.

Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Izhar Hifnei Ismail berkata, pelaburan tersebut sebahagian besar direkodkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), yang bermula sejak 2012.

Selain itu, dua lagi lokasi terbabit dengan industri minyak dan gas di Tanjung Langsat Pasir Gudang dan Tanjung Bin Pontian.

"Setakat 31 Mac tahun ini, PIPC telah merekodkan jumlah pelaburan yang direalisasi sebanyak RM124 bilion hasil daripada pelaburan-pelaburan daripada Petronas dan juga Dialog Group.

"Apabila dicampur dengan nilai pelaburan yang dijalankan di Tanjung Langsat dan Tanjung Bin, jumlah pelaburan sebanyak RM140 bilion telah direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas merasmikan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada Selasa.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC), Mohd. Yazid Jaafar.

Tambah Izhar Hifnei, pembangunan pusat penapisan minyak dan pemprosesan petrokimia di PIPC itu juga telah mewujudkan sebanyak 7,415 peluang pekerjaan.

"Dari segi peluang pekerjaan pula, dianggarkan sebanyak 70 peratus jawatan itu disandang rakyat tempatan.

"PIPC ini juga masih terus berkembang dengan kini telah memasuki fasa kedua daripada keselamatan empat fasa yang dirancangkan untuknya," ujarnya

Sementara itu, Mohd Hairi berharap program jelajah OGSE Johor terus diadakan pada masa depan termasuk pada skala lebih kecil agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat negeri ini.

"Sektor ini bukan sahaja menyumbang kepada sektor ekonomi negeri tetapi juga meningkatkan ekonomi rakyat menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Selain di PIPC, sektor sama turut dibangunkan di Maharani Gateway, Muar. Oleh itu, saya berharap syarikat tempatan tidak melepaskan peluang untuk melibatkan diri dan mengambil manfaat disediakan kerajaan pusat dan negeri dalam sektor ini," jelasnya.