Rumah jadi lokasi jual, hisap dadah

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu.
A
A
A
KOTA TINGGI - Sebuah rumah di Kampung Sayang, Tanjung Sedili yang menjadi ‘port’ menjual dan menghisap dadah diserbu anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, serbuan pada jam 11.40 malam itu turut melibatkan anggota polis dari Balai Polis Kuala Sedili yang diketuai Inspektor Mohd Fikri Ab Karim.

“Polis menahan dua lelaki berumur 29 dan 42 tahun. Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut yang dijadikan tempat menjual dan menghisap dadah telah menjumpai tujuh peket plastik lutsinar dan 66 tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin berat kasar 22.18 gram.

“Turut dijumpai lima peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu berat kasar 2.85 gram, satu alat penimbang digital dan satu botol kaca yang dijadikan alatan untuk menghisap dadah dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahsmon berkata, harga bagi bekalan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,080 bagi kegunaan anggaran 100 penagih di kawasan tersebut.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

“Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah mulai hari ini (semalam) sehingga 8 Januari selama tujuh hari bagi tujuan siasatan lanjut.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-dua suspek terbabit mempunyai rekod melibatkan kes dadah dan kes jenayah. Salah seorang suspek juga masih dikehendaki bersabit dengan kes dadah,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel Berkaitan: