Anggota polis putus jari digigit suspek

Anggota polis yang cedera telah menerima rawatan di hospital berhampiran.
Anggota polis yang cedera telah menerima rawatan di hospital berhampiran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis putus jari manis digigit seorang lelaki yang bertindak agresif dan menceroboh pos pengawal Balai Polis Sungai Besi, di sini, kelmarin, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam kejadian pada jam 10.15 malam, pengadu bersama seorang rakan sekerja sedang bertugas di hadapan pos pengawal, sebelum didatangi seorang lelaki warga tempatan.

"Suspek berusia 34 tahun itu menjerit mahu menyimbah asid, sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru masuk ke pekarangan balai polis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zam Halim berkata, suspek juga membaling satu tin minuman ke arah dinding kaca dan mengakibatkannya pecah.

"Berlaku pergelutan antara suspek bersama anggota polis berkenaan ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki tersebut.

"Suspek telah bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang rakan sekerja pengadu sehingga putus di bahagian hujung jari," katanya.

Beliau berkata, suspek turut mengalami cedera ringan kemudian berjaya ditahan.

"Suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berkenaan satu kes penipuan. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek pernah mendapat rawatan psikiatri pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

"Suspek telah direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.