Paling laju saya bawa kereta 180 km/j, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun menjawat jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap memandu keretanya sendiri disebabkan minat memandu kereta.

Beliau sebelum ini turut menarik perhatian rakyat negara ini apabila memandu sendiri Proton Persona membawa Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Dr Mahathir ketika ditemu ramah melalui sebuah stesen radio mendedahkan kepada pendengar bahawa minatnya memandu kereta bermula apabila memiliki kereta berbumbung kain sejak zaman belajar di Singapura lagi sehingga beliau kadang-kala sanggup memandu dari Singapura ke Kuala Lumpur hingga ke Alor Setar.

“Saya seronok bawa kereta walaupun kadangkala malam-malam berasa sakit kaki sikit sebab tekan pedal tetapi bawa kereta itu macam satu hiburan.

“Paling laju saya pernah bawa ialah 180 kilometer sejam (km/j). Lebih daripada itu pun kadang-kala ada sebab masa itu Maju Highway belum buka, jadi kita ada akses dan tidak ada kereta lain, jadi saya bawa lajulah.

“Tetapi kadang-kala dengan isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), saya bawa perlahanlah sebab dia selalu cakap dengan saya jangan deraih...jangan deraih (laju),” katanya sambil tergelak kecil.

Dalam pada itu, Dr Mahathir ketika ditanya siapa yang kuat merajuk antara beliau dan isteri, beliau menjawab kebanyakan masa sebelum ini dirinya suka merajuk dengan isteri terutama melibatkan isu masa.

“Saya ni selalu nak ‘on time’, saya tak suka lambat. Jadi, bila saya siap dia tak siap saya kecewalah tetapi tak boleh betulkan (masalah lambat).

Artikel Berkaitan:

"Sekarang, saya terima dia mesti lambat dan saya mesti terima hakikat nak tunggu dia, jadi tidak ada masalah,” katanya yang kini mempunyai 18 cucu, jumlah yang ramai sambil memberitahu kadang-kala terlupa nama mereka.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam temu ramah sama menegaskan bahawa usaha keras dan pegangan kepada nilai hidup yang baik menjadi penentu kepada kejayaan.

Katanya, jika bangsa itu menduduki lombong emas sekalipun, mereka tidak akan berjaya jika tidak ada usaha dan tekad untuk membawa keluar emas tersebut.

“Kebolehan antara bangsa, kaum atau individu hampir sama tetapi kalau dia tidak suka belajar, dia lebih suka berehat, bangsa itu tidak berjaya.

"Banyak negara cukup maju, namun ada negara walaupun mempunyai banyak sumber alam seperti minyak dan emas tetapi mereka tidak usaha, mereka tidak maju,” katanya.