Mansuh tol motosikal: Langkah awal mansuh tol sepenuhnya

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN- Pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) dan Lebuhraya Laluan Kedua di Malaysia-Singapura (Linkedua) merupakan langkah awal dalam pemansuhan tol secara keseluruhan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemansuhan tol itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan PH dalam memenuhi manifesto PRU14 lalu.

Menurutnya, kerajaan baharu sedang berusaha untuk memulihkan keadaan ekonomi dan kewangan negara bagi membolehkan semua janji dalam manifesto ditepati.

"Rakyat kena terima hakikat bahawa skandal 1MDB dan kedudukan kewangan akibat skandal itu yang menyebabkan kita tidak boleh melaksanakan janji manifesto dengan segera. Bayangkan projek baru siap 10 peratus tetapi bayaran sebanyak 88 peratus sudah dibayar.

"RM8.3 bilion hangus begitu sahaja di bawah kerajaan BN. Inilah yang perlu dihadapi kerajaan PH sekarang. Kita masih berusaha untuk menepati janji manifesto PH pada PRU14 lalu. Kita tak sebut, selepas pemansuhan tol motosikal, maka ia terhenti di situ sahaja.

"Kerajaan akan berusaha untuk melaksanakan janji kita dahulu. Tetapi perlu sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memulihkan kedudukan kewangan dan fizikal. Jika ia pulih lebih awal dari jangkaan, mungkin akan ada berita baik yang akan diumumkan kelak," katanya kepada media tadi.

Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pemansuhan tol motosikal di dua jambatan dan Lebuhraya Linkedua adalah manifesto BN pada PRU14 lalu.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan melancarkan Projek Naik Taraf Lif Perumahan Kastam, Bukit Gelugor di sini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, rakyat diminta memberi peluang kepada kerajaan baharu untuk terus memerintah dan menguruskan ekonomi agar rakyat mendapat manfaat sewajarnya.

"Mungkin jika BN perintah sekarang pun, ya, mereka akan hapuskan tol motosikal tetapi kena ingat, BN menang maknanya GST tidak dimansuhkan. Tetapi kerajaan PH, GST tidak ada tetapi masih boleh mansuhkan tol motosikal malah masih boleh mengadakan program kebajikan seperti pemberian saguhati kepada 1.6 juta kakitangan awam.

"Saya yakin dan optimis, jika rakyat terus menyokong PH, kita akan dapat pulihkan kedudukan fizikal dan kembali kepada keadaan asal. Ia bagi membolehkan kita memenuhi matlamat dan sasaran menjadi sebuah negara berekonomi maju serta berpendapatan tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng menafikan bahawa kerajaan PH mengikut cara BN dalam menangani masalah harga petrol dan diesel.

Menurutnya, kerajaan terdahulu tidak pernah mengehadkan harga petrol kepada RM2.20 sebaliknya penetapan harga bahan api itu dibuat mengikut harga pasaran dunia.

"Sebelum ini tidak pernah buat iaitu mengehadkan harga petrol kepada RM2.20 seliter. Apa yang PH buat sekarang, jika harga minyak dunia naik, harga petrol hanya boleh dijual sehingga RM2.20 seliter sahaja. Selebihnya akan ditanggung kerajaan.

"Jika harga petrol turun, itu tak jadi masalah. Ini tak pernah berlaku sebelum ini. Ada orang cakap, kita ikut cara lama, itu tidak betul. Cara lama tak ada had. Inilah inovasi kerajaan PH bagi membolehkan rakyat menikmati harga petrol yang tidak terlalu tinggi," katanya.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan, harga runcit minyak tidak akan berubah pada minggu pertama 2019 iaitu harga RON97, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Harga itu kekal sehingga kerajaan menetapkan harga runcit baharu menjelang akhir minggu pertama Januari.