Barisan Exco baharu Pulau Pinang cerminkan kematangan politik

Tun Ahmad Fuzi dua dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat kepada Mohamad pada Rabu. - Foto: Bernama
Tun Ahmad Fuzi dua dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat kepada Mohamad pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Senarai baharu barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencerminkan kematangan politik baharu untuk kesejahteraan dan perpaduan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Mohamad yang mengangkat sumpah Timbalan Ketua Menteri I dan dilantik mengetuai Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, beliau bersedia memberi komitmen penuh malah portfolio sedemikian bukan asing kepadanya.

"Walaupun baharu dalam sudut politik namun bagi saya porfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi adalah sudut porfolio saya malah bukanlah asing kepada saya kerana sebelum ini saya Ketua Eksekutif Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dan ia (portfolio) adalah bidang saya.

"Saya sedia berkhidmat kepada rakyat di Pulau Pinang terutama dalam membangunkan agama Islam, pendidikan dan pengajian tinggi...bagi pembangunan masyarakat kita akan bawakan Kerajaan Perpaduan kepada orang ramai kerana itulah temanya dan tugas semua barisan exco sekarang ini ialah bina semula pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis mengangkat sumpah Exco di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Rabu.

Tun Ahmad Fuzi (kanan) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar kepada Rashidi pada Rabu. - Foto: Bernama
Tun Ahmad Fuzi (kanan) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar kepada Rashidi pada Rabu. - Foto: Bernama

Barisan Exco yang turut mengangkat sumpah pada Rabu ialah ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo yang juga Timbalan Ketua Menteri 2; ADUN Sungai Acheh, Rashidi Zinol; ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari; ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Jawi, H'ng Mooi Lye; ADUN Padang Lalang, Gooi Zi Sen; ADUN Perai, Datuk Seri S. Sundarajoo; dan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.

Selain itu, Rashidi yang merupakan wakil tunggal daripada Barisan Nasional(BN) yang dipilih sebagai Exco Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar berkata porfolio itu dapat membina kekuatan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, portfolionya juga selari dengan portfolio Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Rashidi percaya ia lebih mudah untuk saya memohon peruntukan untuk kemajuan masyarakat di desa untuk Pulau Pinang.

''Kita boleh nampak keikhlasan gabungan perpaduan Pakatan Harapan-BN untuk membentuk masyarakat MADANI di negeri ini dengan pelantikan wakil BN dan ia dapat menarik sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang," katanya.

Rashidi turut menjelaskan hubungannya dengan ADUN Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam keadaan baik walaupun timbul pelbagai spekulasi tidak berasas sama sekali kerana mereka bersahabat baik sejak dari bangku sekolah lagi.

Pada PRN lepas, gabungan PH-BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas memenangi majoriti dua pertiga iaitu 29 kerusi daripada 40 kerusi DUN yang dipertandingkan dengan DAP memenangi kesemua 19 kerusi DUN yang ditandingi; PKR (tujuh); Amanah (satu); dan BN (dua); manakala Pakatan Nasional (PN) memperoleh 11 kerusi. - Bernama