GST: Kerajaan perlu libatkan pakar ekonomi swasta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penglibatan pakar ekonomi swasta seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) penting jika kerajaan berhasrat untuk melakukan kajian bagi memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Wira Jalilah Baba berkata, ini penting kerana perbandingan teliti perlu dibuat untuk melihat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau GST yang lebih menguntungkan rakyat.

Jalilah yang juga bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagaimanapun mengakui SST yang diperkenalkan 1 September 2018 adalah membebankan peniaga.

GST yang diperkenalkan pada 1 April 2015 telah dimansuhkan dan berkadar sifar mulai Mei hingga Ogos 2018.

"Pendapat ahli-ahli perniagaan lebih cenderung kepada GST kerana terdapat mekanisme yang mana kos dapat ditolak daripada jumlah pendapatan yang dikenakan cukai.

"Betul, GST lebih baik daripada SST. (Ini kerana cukai) SST yang dikenakan adalah berasaskan invois dan cukai input tidak boleh dituntut seperti GST dan ini merupakan kos kepada perniagaan," katanya kepada Bernama selepas diwawancara menerusi program berita Bernama News Channel, di sini.

Beliau berkata, kadar tiga peratus GST yang dicadangkan MIER adalah bersesuaian jika kerajaan mahu memperkenalkan semula GST, seiring negara-negara yang mengguna pakai sistem percukaian berkenaan.

"Negara lain kecuali India memulakan GST pada kadar tiga peratus.

Artikel Berkaitan:

“Daripada kajian terdahulu sebelum GST diperkenalkan di Malaysia, memang tahap optimum adalah tiga peratus tetapi sebaliknya terus dikenakan enam peratus dan kadar tersebut turut membebankan peniaga," katanya.

Jalilah berkata, pengalaman pelaksanaan GST sebelum ini juga dapat membantu kerajaan menambah baik mekanisme percukaian tersebut agar lebih berkesan dan mesra rakyat.

Beliau berkata, nilai ambang GST yang tinggi berbanding lebih RM500,000 setahun (pendapatan) sebelum ini akan turut membantu lebih banyak syarikat mendapat pengecualian cukai.

Mengulas kemungkinan pendapatan kerajaan berkurangan sekiranya GST diperkenalkan semula pada kadar tiga peratus, beliau berkata: "Sekali lalu memang seperti berkurangan tetapi kita tidak tahu (aspek) kelayakan yang mungkin diperkenalkan dan jenis perniagaan yang mungkin dikenakan atau dikecualikan cukai itu.”

Pada masa sama, beliau turut menjangkakan impak kepada kos peniaga bagi tempoh peralihan terbabit sekiranya terdapat penambahbaikan dalam sistem percukaian sedia ada.

"Kalau ada pelarasan dan perubahan perisian dilakukan, ini akan memberi tambahan kos,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersedia mengkaji keperluan memperkenalkan semula GST sekiranya itu merupakan kemahuan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan sedia kembalikan GST: PM

Inflasi akan meningkat jika GST kembali, kata Guan Eng

Kaji GST: 'Kehendak rakyat kata dia' - Najib

'PH akhirnya akui GST lebih baik' - Najib

Sebelum ini, MIER telah menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan pada 11 Oktober ini. - Bernama