Pelaburan RM100 bilion bukti AS yakini prospek ekonomi Malaysia

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

PELABURAN berjumlah RM100 bilion bukti keyakinan Amerika Syarikat (AS) terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, hampir 70 peratus pelaburan AS adalah menerusi sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Antara pelaburan besar syarikat AS ialah RM30 bilion oleh Intel dan RM14.6 bilion daripada Texas Instruments.

“Pelaburan AS juga telah mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan sejak 1980,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial, Twitter pada Khamis.

Pada 21 Ogos lalu, media melaporkan, Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters memberitahu bahawa syarikat-syarikat AS telah membuat ikrar pelaburan bernilai RM100 bilion dalam pelbagai sektor di Malaysia sejak 18 bulan lepas.

Pelaburan besar itu melibatkan bidang yang menjadi tumpuan AS untuk mengukuhkan kedudukannya seperti elektronik dan semikonduktor selain segmen pusat data yang merupakan bidang pertumbuhan besar.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, 86 peratus daripada pekerjaan yang diwujudkan itu dipenuhi oleh rakyat Malaysia, termasuklah dalam bidang kejuruteraan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“MITI juga bakal melancarkan pelan induk perindustrian baharu (NIMP) 2030 yang antara lainnya bertujuan menambah baik landskap pelaburan di Malaysia dan melancarkan perjalanan pelabur.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, kita akan terus bekerjasama dengan AS dan pelabur-pelabur asing lain bagi memajukan industri serta meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.