Hormati undang-undang, didik masyarakat elak isu hina agama berulang - Zulkifli

SHAH ALAM – Semua pihak diminta menghormati proses perundangan dengan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap insiden penghinaan agama Islam.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pihaknya turut mengecam sebarang bentuk tindakan biadab terhadap agama suci itu.
“Saya tegaskan bahawa saya mengecam penghinaan agama Islam yang suci dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang setegasnya tanpa kompromi.
“Kita perlu menghormati lunas undang-undang dan bertegas terhadap sesiapa yang cuba menghina agama kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Ujar beliau, usaha mendidik masyarakat menjadi sebahagian daripada tanggungjawab bersama agar perkara seumpama itu tidak berulang pada masa depan.
Zulkifli memberi contoh pendekatan hikmah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mencetak dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam tiga tahun lalu.
“Ini dilakukan oleh Perdana Menteri untuk memberi kefahaman kepada seluruh penduduk dunia.
“Apa yang perlu kita lakukan selepas ini perlu mengambil kira usaha mengelakkan perkara-perkara ini daripada berlaku. Maka, kita perlu meneruskan proses mendidik dan memberikan pencerahan,” katanya lagi.
Beliau juga mengajak seluruh umat Islam mengamalkan tabayun, menghayati nilai Ramadan, bersabar dan terus berbuat kebaikan.
Pada Selasa, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut sebuah universiti di Pahang di media sosial.
Turut tular gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW.
Susulan itu, polis mengesahkan menahan penuntut tersebut dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Semua pihak diminta menghormati proses perundangan dan tindakan tegas terhadap penghinaan agama Islam
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sebarang bentuk tindakan biadap terhadap agama Islam
- Usaha mendidik masyarakat menjadi tanggungjawab bersama untuk menghindari pengulangan kejadian serupa
- Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetak dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci
- Penuntut sebuah universiti di Pahang ditahan oleh polis susulan tular gambar dan komentar menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
