Tiada kompromi, pelaku pijak al-Quran mesti dihukum berat – Mohd Asna

SHAH ALAM – Tindakan memijak al-Quran disifatkan sebagai perbuatan melampau, biadab dan tidak boleh dimaafkan, tegas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin.
Menurut beliau, individu terlibat perlu didakwa dan dikenakan hukuman lebih berat tanpa sebarang kompromi, apatah lagi perbuatan itu dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan.
“Perbuatan memijak al-Quran adalah perbuatan melampau dan biadab. Perlu dipastikan individu ini didakwa dan menerima hukuman yang lebih berat. Tiada kompromi.
"Lebih mengecewakan, perbuatan tersebut dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit kerana perbuatan itu bukan sahaja menghina kitab suci umat Islam, malah mencabar institusi Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negara ini.
“Saya menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.
"Perbuatan tersebut bukan sahaja memijak al-Quran malah telah menghina institusi Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negara ini,” ujarnya.
Mohd Asna berkata, tindakan memaparkan gambar memijak al-Quran amat membimbangkan kerana berpotensi mencetuskan persengketaan kaum serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang sangat sensitif.
Menurutnya, perbuatan itu jelas melanggar batas toleransi masyarakat majmuk dan menyakiti perasaan umat Islam di negara ini.
“Tujuan individu terbabit memaparkan gambar memijak al-Quran amat membimbangkan kerana ia boleh mewujudkan persengketaan perkauman di negara ini dan telah melanggar isu 3R yang serius hingga menyakiti perasaan umat Islam.
“Walaupun dia rakyat Malaysia, kerana sakit hati dia sanggup menghina al-Quran dan umat Islam,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan perbuatan tersebut tidak mewakili mana-mana kaum bukan Islam di negara ini kerana tiada individu waras akan bertindak sedemikian.
"Saya pasti perbuatan individu tersebut tidak mewakili mana-mana kaum bukan Islam di negara ini kerana tiada manusia waras yang akan melakukan perkara sekeji itu.
" Jika isu sensitif dipertikai secara keterlaluan, kesannya sangat dahsyat dan apabila kita bertindak dengan semangat marah, kesannya juga amat buruk,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd Asna menekankan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum yang dinikmati hari ini adalah hasil kepimpinan dan kebijaksanaan kerajaan terdahulu dalam mengurus kepelbagaian agama serta kepercayaan.
"Realiti keharmonian masyarakat berbilang kaum bertamadun tinggi berjaya dibentuk hasil kepimpinan kerajaan terdahulu.
"Malaysia adalah bukti kita hidup dalam kepelbagaian agama dan kepercayaan tetapi masih dapat berkumpul bersama-sama dan hidup dalam perpaduan dalam satu negara,” katanya.
Ringkasan AI
- Tindakan memijak al-Quran disifatkan sebagai perbuatan melampau, biadab dan tidak boleh dimaafkan
- Individu terlibat perlu didakwa dan dikenakan hukuman lebih berat tanpa kompromi
- Perbuatan ini lebih mengecewakan kerana dilakukan semasa umat Islam berpuasa di bulan Ramadan
- Perbuatan tersebut juga menghina institusi Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di Malaysia
- Keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan hasil kepimpinan kerajaan terdahulu dalam mengurus kepelbagaian agama dan kepercayaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

