Makanan ringan guna logo halal tidak sah disita

Ravichandran (dua dari kiri) memeriksa bungkusan makanan ringan yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pengkalan.
Ravichandran (dua dari kiri) memeriksa bungkusan makanan ringan yang disita dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pengkalan.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita 401 bungkusan makanan ringan pelbagai jenama yang menggunakan logo halal tidak sah dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pengkalan, Lahat semalam.

Serbuan bermula jam 12 tengah hari bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu turut merampas 360 kotak dan 91 plastik pembungkus mempunyai logo halal dengan anggaran keseluruhan bernilai RM29,869.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIPk, Burhanuddin Md Dali berkata, pemeriksaan mendapati premis itu menggunakan logo halal pada setiap makanan ringan yang telah siap dibungkus dan pada plastik pembungkusan makanan.

Menurutnya, semakan mendapati premis itu tidak mempunyai Pensijilan Halal daripada JAIPk dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Siasatan juga mendapati terdapat dua syarikat menggunakan alamat premis sama yang mana kedua-duanya menggunakan logo halal pada setiap makanan ringan keluaran mereka.

"Satu daripada syarikat itu mempunyai pensijilan halal namun tidak pernah membuat pembaharuan sejak ia tamat tempoh pada 31 Disember 2016 lalu sementara satu lagi syarikat tidak pernah mempunyai pensijilan halal," katanya ketika ditemui pada sidang media hari ini.

Ravichandran (dua dari kanan) dan Burhanuddin (tiga dari kanan) menunjukkan antara produk makanan ringan yang disita.
Ravichandran (dua dari kanan) dan Burhanuddin (tiga dari kanan) menunjukkan antara produk makanan ringan yang disita.

Dalam serbuan sama, KPDNHEP turut menyita 29 guni gula pasir seberat 1,450 kilogram (kg), 49 guni tepung gandum (1,225 kg), 62 tin minyak masak (1,054 kg) dan 31 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 434 kg.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, V Ravichandran berkata, rampasan keseluruhan bernilai RM11,777.20 itu dibuat atas kesalahan menjual barang kawalan tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.

"Ketika serbuan kita dapati premis ini juga ada menyimpan gula, tepung gandum, minyak masak dan gas untuk kegunaan pembuatan produk keluaran dihasilkan.

"Bagaimanapun suspek gagal mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual ke atas perniagaannya apabila diminta berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan itu tiga kes telah dihasilkan masing-masing dua di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan satu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun mengaku sebagai pemilik perniagaan telah ditahan, beberapa dokumen juga telah disita bagi tujuan siasatan," katanya.

Sejak Januari hingga kini, KPDNHEP Perak telah merekodkan 15 kes melibatkan isu halal dengan nilai rampasan hampir RM34,000.