ERC cadang sistem pilihan raya baharu di Malaysia

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan sistem pilihan raya baharu dilaksanakan di negara ini menggantikan sistem diguna pakai sekarang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, ERC mencadangkan Sistem Perwakilan Berkadar untuk Parlimen manakala sistem ‘First Past The Post’ dikekalkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, pilihan raya tetap dijalankan secara serentak seperti diamalkan selama ini dengan kertas undi memaparkan nama calon bagi peringkat DUN dan parti untuk kawasan Parlimen.

“Sistem perwakilan berkadar juga disokong banyak parti politik kerana ia dilihat lebih bersifat adil terutama kepada parti kecil untuk mendapat tempat dalam Dewan Rakyat.

"Sistem 'first past the post' masih penting di peringkat DUN kerana rakyat di luar bandar masih memerlukan wakil rakyat untuk menjadi penghubung dengan sistem penyampaian kerajaan.

"Sistem Perwakilan Berkadar sesuai bagi memilih parti untuk membentuk kerajaan. Sistem ini membolehkan parti yang paling banyak menerima undi tertinggi akan membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilhan Raya (ERC) Bersama Parti Politik di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, melalui sistem tersebut, pemilihan bukan hanya bersandarkan kepada calon tetapi parti yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya sesuatu parti mendapat 60 peratus undi, maka parti itu akan dapat 60 peratus kerusi. Sistem ini bersifat lebih adil kepada parti kecil untuk mendapat kerusi.

"Sistem ini juga boleh memperuntuk kerusi khas untuk kelompok tertentu seperti Orang Asli," katanya.

Sistem perwakilan berkadar adalah kaedah menentukan parti membentuk kerajaan berasaskan peratus undi diperoleh sesuatu parti yang digunakan di beberapa negara seperti Jerman, Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia.

Sistem pilihan raya Malaysia berpandukan model sistem pilihan raya Britain iaitu berasaskan perwakilan mengikut kawasan.

Calon yang mendapat undi tertinggi akan diisytiharkan menang walaupun beza satu undi mengatasi calon lain.