Tiada siapa kebal daripada tindakan undang-undang - Tengku Hassanal

Tengku Hassanal Ibrahim
Tengku Hassanal Ibrahim
A
A
A

PEKAN - Agensi penguatkuasaan di Pahang perlu bersikap tegas dan tidak terlibat dalam amalan rasuah semasa melaksanakan tugas demi memastikan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna di negeri ini terus terjaga.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, mereka tidak perlu takut, sebaliknya perlu menjalankan penguatkuasaan dengan bersungguh-sungguh dan penuh berintegriti.

Baginda menegaskan, tiada yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang jika mereka melakukan kesalahan.

"Saya ada bersama tuan-tuan dan puan-puan. Jangan risau, jangan ambil rasuah, sentiasa jaga integriti. Jika ada yang jual nama, sembahkan kepada saya.

"Tiada yang kebal daripada undang-undang. Yang salah tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik, mahu pun rakyat jelata," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-64 Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini pada Jumaat.

Baginda dalam titah turut mengingatkan semua ahli kerabat supaya mendapat perkenannya terlebih dahulu berhubung projek berbentuk usaha sama dengan kerabat negeri lain.

Titah baginda, begitu juga dengan semua ahli politik yang mahu melakukan projek pembangunan perlu mendapat sembah maklum dan mohon perkenan daripada baginda selepas berbincang dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kepada kerajaan Persekutuan, semua isu dan projek pembangunan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri dan sudah tentu akan sembah maklum kepada saya untuk mendapatkan perkenan," titah baginda.

Sementara itu, Tengku Hassanal bertitah, Jabatan Alam Sekitar perlu memaklumkan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam sekitar (EIA) kepada baginda terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Sebagai pewaris takhta, baginda tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan namun mahu menjadi salah satu pemegang taruh yang penting dalam semak dan imbang kepada pembangunan yang dilaksanakan

"Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota Pahang semula agar semua pembangunan yang dirancang memberi manfaat yang terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari," titah Tengku Hassanal.