KPM kaji keperluan lantikan luar jawatan warden asrama

Nie Ching (tengah) bersama peserta pada majlis perasmian penutup Seminar Lindungi Diri dan Keluarga 2.0: Pendidikan Seksualiti dan Salah Laku Remaja di UMT hari ini. - Foto Bernama
Nie Ching (tengah) bersama peserta pada majlis perasmian penutup Seminar Lindungi Diri dan Keluarga 2.0: Pendidikan Seksualiti dan Salah Laku Remaja di UMT hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan untuk membuat lantikan luar bagi mengisi jawatan warden asrama yang ketika ini dipikul oleh guru sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, perkara itu memerlukan sesi perbincangan yang lebih mendalam atau sesi libat urus antara beberapa pihak termasuk guru dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ia dapat dilaksanakan.

"Kita akan buat kajian kerana keputusan (pelaksanaan) ini akan memberi kesan terhadap banyak sekolah terutama yang ada asrama," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Seminar Lindungi Diri dan Keluarga 2.0: Pendidikan Seksualiti dan Salah Laku Remaja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Sementara itu, Nie Ching berkata, kementerian itu masih menunggu nasihat daripada Pejabat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu terhadap kes buli di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri ini.

Nie Ching berkata, keputusan sama ada akan merayu atau tidak terhadap keputusan yang mengarahkan pihaknya serta lapan defendan lain membayar ganti rugi berjumlah RM616,634.20 itu juga akan ditentukan kelak.

"Kementerian masih menunggu nasihat daripada Pejabat Peguam Negara kerana apabila sesuatu kes melibatkan mahkamah, kami sebagai sebahagian daripada kerajaan akan mengikut nasihat daripada mereka.

"Berapa lama tempoh masa untuk buat rayuan, kalau tidak silap saya antara 60 hingga 90 hari dan dalam tempoh masa itu kita akan tunggu nasihat daripada Peguam Negara," katanya.

Ahad lalu Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan sembilan defendan membayar tuntutan itu kepada seorang bekas pelajar sekolah SBP itu yang menjadi mangsa buli, empat tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Sembilan defendan itu ialah lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) yang kini berusia 21 tahun; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sulaiman Ngarif, bekas pengetua Sesma, Meriam Jusoh; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan kerajaan Malaysia.

Saman itu difailkan plaintif, yang ketika kejadian berusia 14 tahun menerusi bapanya pada 2 April 2017. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Penolong kanan, bekas pengetua kena bayar tuntutan kepada mangsa buli