Kerajaan yang ada ketika ini lagi stabil - Penganalisis

Mohd Azizuddin - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Mohd Azizuddin - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih stabil memandangkan tidak berdepan dengan isu kemungkinan 'digulingkan' berbanding situasi dihadapi beberapa pentadbiran sebelum ini.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, asas kepada kestabilan itu juga mengambil kira sokongan 148 ahli Parlimen kepada kerajaan ketika ini.

Ini kerana ujarnya, tiada 'potensi' untuk mana-mana ahli Parlimen menarik balik sokongan terhadap kerajaan seperti yang berlaku sebelum ini kerana terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.

"Pandangan saya sebagai orang akademik melihat kerajaan yang ada sekarang ini lagi stabil sebab ada 148 (sokongan ahli Parlimen).

"Walaupun ada (kemungkinan) beberapa ahli Parlimen yang mungkin tidak berapa selesa duduk dalam kerajaan ini tapi atas dasar pembentukan kerajaan bersandarkan inspirasi Istana Negara, sokong 148 (ahli Parlimen) dan juga adanya Undang-Undang Anti Lompat Parti yang menjamin kerajaan ini tidak akan tergugur atau digulingkan dengan cara (seperti) sebelum ini.

"Sebelum ini kita tahu bahawa setiap individu atau ahli Parlimen itu ada hak buat keputusan sendiri dengan menukar parti dan sebagainya tetapi kini tidak boleh lagi," katanya ketika Wacana Edisi 396 bertajuk Kamikaze Politik: Maruah atau Penting Diri? yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Selasa.

Program yang berlangsung kira-kira sejam itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Romli Ishak dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'Aman, manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Mengulas mengenai dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini, Mohd Azizuddin menyifatkan ia sebagai persepsi semata-mata menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Bagaimanapun, desas-desus sedemikian katanya, boleh menjejaskan ekonomi negara yang sedang bergerak positif ketika ini.

"Saya bimbang (sekiranya persepsi ini tidak ditangani akan) mewujudkan ketidaktentuan dalam negara yang akan beri kesan khususnya kepada ekonomi.

"Sebab macam contoh pelabur asing misalnya mereka melihat ekonomi Malaysia semakin stabil (sebab itu datang melabur)," katanya.