'Sekretariat bersama permudah urusan rangkaian TV perjelas Islam'

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan menubuhkan rangkaian televisyen berbahasa Inggeris antara Malaysia, Turki dan Pakistan mendapat reaksi positif pelbagai pihak kerana ia dilihat mampu menjernihkan pandangan masyarakat dunia terhadap isu berkaitan Islam dan menangkis kaitan agama dengan keganasan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, proses pelaksanaan inisiatif itu dapat dipermudahkan dengan mewujudkan sebuah sekretariat bersama babitkan ketiga-tiga negara yang berperanan selaku agensi penyiaran dan multimedia serta badan berkuasa agama.

"Masing-masing (Malaysia, Pakistan dan Turki) boleh menampilkan beberapa tokoh dalam kalangan mereka kemudiannya dikemukakan (penerangan) dengan kepelbagaian cara negara terbabit, mungkin dari segi perbezaan, suasana, bangsa dan kehidupan.

"Namun isu yang lebih besar adalah mengumpulkan segala salah faham yang wujud dalam kalangan seperti golongan ekstrem atau Islamophobia dan kemudiannya memberikan jawapan yang paling tuntas dan munasabah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 28 September, Malaysia, Turki dan Pakistan bersetuju supaya langkah tertentu diambil untuk menjelaskan apa Islam sebenarnya kepada dunia luar dalam usaha menangkis kaitannya dengan keganasan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini lahir daripada perbincangan yang berlangsung antara beliau bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, selain kemahiran berkomunikasi, perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah hujah yang disampaikan hendaklah mengandungi fakta yang mampu memberi kesan dan diterima.

Katanya, jawapan bagi setiap persoalan itu perlu dibuat menerusi dua kaedah iaitu berdasarkan dalil naqli iaitu nas yg diperoleh daripada al-Quran atau hadis (bukan berdasarkan rasional fikiran) dan aqli iaitu menggunakan logik akal fikiran dan kemunasabahan yang disulami fakta.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berpendapat, ahli akademik dalam bidang berkaitan dan tokoh terkemuka negara antara yang boleh diketengahkan kerana golongan itu bukan sahaja berpengetahuan dan berpengalaman malah mempunyai buah fikiran yang baik.

“Cuma bagi saya kita tidak boleh bebaskan pandangan mereka begitu sahaja, perlu bincang dan buat ‘homework’. Biar percakapan itu nampak tersusun, terarah dan ada hujah-hujah ilmiah walaupun dalam penyampaian secara santai,” tambahnya.

Sementara itu, Fellow dalam Pengajian Islam di Fakulti Theologi Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata, hasrat untuk menubuhkan sebuah rangkaian televisyen berbahasa Inggeris bagi berhadapan masalah yang semakin meningkat berhubung sentimen anti Islam dan 'Islamophobia' adalah satu perkembangan yang positif terutama kekejaman yang berhubung dengannya seperti pembunuhan di Christchurch.

“Hakikat bahawa inisiatif ini diketuai oleh tiga negara Islam ‘demokrat’ iaitu Malaysia, Pakistan dan Turki juga signifikan kerana negara-negara ini berusaha untuk ke arah inisiatif itu dan tidak defensif dan reaktif kepada keadaan dunia semasa.

"Ini, saya yakin dapat menyokong pandangan majoriti Islam yang ‘berdiam’ di seluruh dunia,” katanya.

Afifi, yang juga Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Perak juga berkata, falsafah di sebalik kandungan program itu hendaklah menyasarkan hanya imej positif Islam dan menggunakan panduan daripada ulama yang progresif dan sederhana dari ketiga-tiga negara itu.

“Ini kerana akar kepada masalah Islamophobia ialah "takutkan sesuatu” oleh orang bukan Islam mengenai Islam. Lagi banyak mereka mengetahui betapa aman dan toleransinya agama Islam, itu adalah lebih baik,” jelas beliau.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang menyambut baik inisiatif itu memberikan pandangan bahawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) boleh memainkan peranan sebagai entiti penting menyahut seruan ketiga-tiga pemimpin negara itu dan akan menjadi sumber rujukan dunia.

“Inisiatif ini boleh diangkat sendiri oleh Bernama sebagai entiti penting mewakili negara untuk menggerakkan idea ini ke depan. Sudah tiba masanya Malaysia berperanan seperti Al Jazeera yang mewakili Qatar, yang boleh dilihat di negara Arab.

“Jika Bernama ambil peluang itu, mungkin Malaysia akan dirujuk sebagai sumber berita penting dunia malah sebagai sumber bagi setiap isu,” ujarnya.

Jelasnya, penerangan isu berkaitan Islam dalam bentuk filem atau dokumentari yang ditayangkan di kaca televisyen mudah difahami dan dapat ditonton di seluruh dunia.

Beliau turut mencadangkan agar satu pasukan khas media sosial diwujudkan sebagai pelengkap kepada pendekatan menerusi media elektronik kerana ia lebih mudah dan cepat. - Bernama