Jaja di lampu isyarat: Kompaun, sita peniaga jalanan

Mohd Nurkhuzaini
Mohd Nurkhuzaini
A
A
A

KUALA TERENGGANU ‐ Peniaga jalanan yang ingkar larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat di negeri ini berkuat kuasa 1 November depan, akan berdepan dengan tindakan penguatkuasaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya telah memberikan tempoh mencukupi iaitu sehingga akhir Oktober ini kepada peniaga terlibat bagi mencari alternatif baharu, sekali gus mematuhi arahan larangan berkenaan.

Menurutnya, jika ada penjaja yang masih meneruskan aktiviti selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun dan sita boleh dilakukan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Tenaga Kerja.

"Kita harapkan tempoh yang diberikan itu mencukupi bagi membolehkan mereka mencari alternatif perniagaan baharu di lokasi yang lebih sesuai dan selamat.

"Di peringkat kerajaan negeri, kita nasihatkan penguat kuasa agar jangan melihat kesalahan tersebut sebagai silap yang besar kerana seboleh mungkin, kita tidak mahu berlaku sebarang kejadian keganasan kepada penjaja," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini semalam.

Bulan lepas, kerajaan negeri memutuskan untuk menghentikan serta-merta sebarang aktiviti perniagaan jalanan yang lazimnya tertumpu di persimpangan-persimpangan lampu isyarat di seluruh negeri ini.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kerajaan negeri memberikan kelonggaran kepada penjaja jalanan terlibat selepas majlis pertemuan dengan penjaja lampu isyarat di Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nurkhuzaini berkata, penjaja terlibat boleh mengemukakan cadangan atau permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat bagi mengenal pasti mana-mana lokasi bersesuaian untuk mereka meneruskan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Ada beberapa cadangan lokasi tetapi kurang sesuai.

"Setakat ini difahamkan terdapat satu lokasi iaitu di Jalan Sultan Omar tetapi perkara itu masih lagi dalam perbincangan dengan pihak MBKT," katanya.