Kevin dilantik terajui HLBB berkuat kuasa 1 Julai depan

KEVIN
KEVIN
A
A
A

HONG Leong Bank Bhd (HLBB) mengumumkan pelantikan Kevin Lam Sai Yoke sebagai Pengarah Urusan (MD) Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 1 Julai 2023.

HLBB dalam satu kenyataan berkata, Kevin akan menggantikan Domenic Fuda yang akan bersara daripada jawatan yang sama berkuat kuasa 30 Jun 2023.

“Fuda telah menerajui pertumbuhannya dengan memberikan tumpuan utama kepada penyelesaian yang mengutamakan pelanggan, teknologi dan pelaburan digital serta kemampanan sebagai tonggak strategik untuk pertumbuhan semasa dan masa depannya.

“Di bawah kepimpinan Fuda, bank ini telah melalui transformasi saluran penyampaian, pematuhan yang kukuh dan asas pengurusan risiko, inisiatif strategik peneraju industri bagi memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menerajui metrik kewangan terkemuka dan produktiviti dan pulangan yang konsisten,” kata kenyataan itu baru-baru ini.

HLBB mengucapkan terima kasih kepada Fuda kerana kepimpinan dan pencapaiannya serta mendoakan kejayaannya dalam memulakan fasa seterusnya dalam hidupnya.

Menurut kenyataan itu, Kevin mempunyai pengalaman luas dalam perbankan, teknologi dan kepimpinan selama 30 tahun merentas bank serantau dan antarabangsa di beberapa negara.

“Sebelum menyertai HLBB, beliau berkhidmat sebagai Ketua Perbankan Digital Kumpulan TMRW United Overseas Bank Ltd (UOB) untuk pasaran serantau terutamanya berpangkalan di Singapura

“Beliau sebelum ini bekerja di pelbagai pasaran ASEAN selama sedekad, termasuklah di Jakarta sebagai Presiden Pengarah UOB Indonesia dan Kuala Lumpur, mengetuai perkhidmatan kewangan peribadi di UOB Malaysia dan kemudiannya berkhidmat sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif, menyelia perniagaan perbankan borong dan teknologi serta operasi,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Fuda berkata, beliau telah mendapat keistimewaan menerajui HLBB melalui tempoh transformasi digital dan membawa perubahan dalam memenuhi keperluan pelanggan.