Lebih 8,650 nelayan terjejas akibat jerebu

Azahari
Azahari
A
A
A

KUANTAN - Jerebu yang melanda beberapa daerah di negeri ini mengakibatkan lebih 8,650 nelayan terjejas berikutan tidak dapat turun ke laut.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, jarak pandangan yang terhad di lautan ketika ini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan membabitkan bot-bot nelayan.

Menurutnya, bot-bot nelayan kecil yang tidak dilengkapi Sistem Pengesahan Global (GPS) akan menyebabkan risiko tersesat di tengah lautan kerana tidak dapat melihat daratan dan matahari sebagai panduan untuk mereka pulang.

"Saya nasihatkan nelayan tidak turun ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini. Tapi, jika keadaan memerlukan mereka untuk keluar menangkap ikan, saya cadangkan mereka menjalankan aktiviti penangkapan berhampiran kawasan pantai sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, saranan itu diberikan nelayan memandangkan keadaan jerebu semakin teruk dan kebanyakan nelayan tidak dapat menjalankan aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, Azahari berkata, keadaan jerebu yang teruk berlaku di Rompin kini beralih ke Pekan dan daerah ini kerana tiupan angin.

"Nelayan yang turun ke laut dinasihatkan supaya memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelak berlakunya masalah kesihatan terutama bagi mereka yang menghidap asma," katanya.

Artikel Berkaitan: