Polis Singapura nafi dakwaan nelayan tempatan

Laporan Sinar Harian pada Rabu lalu
Laporan Sinar Harian pada Rabu lalu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Singapura (SPF) menyangkal dakwaan nelayan Malaysia yang mendakwa dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini minggu lalu.

SPF dalam kenyataannya memaklumkan dakwaan tersebut tidak benar dan insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

SPF berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

"Bot PCG kemudian mengesan sebuah bot nelayan Malaysia berada dalam kawasan perairan Singapura. Ada beberapa lagi bot nelayan Malaysia ketika itu namun kesemua bot yang lain berada dalam kawasan perairan Malaysia.

"Pegawai PCG bertugas kemudian menghampiri bot nelayan itu dan menasihati nelayan berkenaan segera meninggalkan perairan Singapura.

"Namun sebaik sahaja bot PCG beredar selepas memberi nasihat itu, pukat nelayan berkenaan telah tersangkut dan terbelit di kipas enjin bot PCG ketika bot pihak berkuasa Singapura itu ingin berundur bagi mengelak memasuki kawasan perairan Malaysia.

"Bagaimanapun, pukat nelayan itu rosak dalam proses pegawai PCG cuba melepas pukat itu daripada kipas enjin bot. Ingin kami tegaskan, pegawai PCG menguatkuasakan undang-undang di kawasan perairan Singapura bukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Rabu, sekumpulan empat nelayan tempatan mendakwa bot penguat kuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau berhampiran Jambatan Link Kedua pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Nelayan, Faizan Wahid, 42, berkata, kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku apabila dia bersama tiga lagi nelayan sedang memasang jaring untuk menangkap udang.

Sementara itu, SPF turut memaklumkan nelayan yang sama turut membuat dakwaan palsu pada Oktober 2022 apabila diminta pihak berkuasa republik itu meninggalkan kawasan perairan Singapura untuk keselamatan dirinya.

Pada 24 Oktober tahun lalu, sekumpulan 10 nelayan tempatan dilaporkan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba berhampiran Jambatan Link Kedua dekat sini.

Malah kejadian itu tular menerusi dua video berdurasi dua minit dan 43 saat.