Hasil tanaman jagung terjejas akibat cuaca panas

Noraini menunjukkan jagung yang dijual di kedainya. (Gambar kecil: Khairul Azwa)
Noraini menunjukkan jagung yang dijual di kedainya. (Gambar kecil: Khairul Azwa)
A
A
A

TANAH MERAH - Cuaca panas yang melanda negara kini mengakibatkan hasil jagung yang ditanam berkurangan musim ini.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan peniaga jagung di Kampung Paloh Hilir, di sini mendapati ramai yang mengeluh kerana banyak tanaman mereka rosak dan tidak membesar dengan baik akibat suhu antara 32 hingga 34 darjah celcius.

Noraini Yahya, 57, mengakui keadaan cuaca tahun ini paling teruk menyebabkan tanamannya cepat kering dan tidak membesar.

Katanya, jagung yang ditanam di tepi Sungai Kampung Belimbing itu tidak boleh dipetik kerana putiknya cepat rosak dan ada yang luruh.

"Air sungai juga semakin kering dan banyak kayu timbul di permukaan air.

"Kami mula tanam Februari lalu supaya dapat menjualnya pada hari raya tetapi cuaca kering dan tiada hujan menyebabkan pokok rosak. Kami reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Noraini yang mengusahakan tanaman jagung bersama suaminya, Rahim Mamat, 61, lebih 30 tahun lalu, berkata, tanaman itu memerlukan cuaca panas dan hujan bagi membolehkan tanaman itu hidup subur.

Peniaga itu juga mendakwa bernasib baik kerana tanaman berkenaan boleh menjadi makanan ternakan lembunya sekali gus tidak membazir.

"Kami tidak lagi mahu menanam pokok lain kerana bimbang membazir dan akan menunggu tiba musim hujan," katanya.

Sementara itu, Khairul Azwa Mustapa, 38, berkata, kebiasaannya dia dapat mengutip 2,000 tongkol jagung jika cuaca elok.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah itu sukar didapati malah bersyukur jika dapat mengutip hasil suku daripada jumlah itu kerana pokok tidak membesar dan cepat kering.

Wan Hasfarini (kanan) melayan pelanggan di gerai jagungnya di Kampung Paloh Hilir, Tanah Merah.
Wan Hasfarini (kanan) melayan pelanggan di gerai jagungnya di Kampung Paloh Hilir, Tanah Merah.

Khairul Azwa yang dibantu isteri, Wan Hasfarini Wan Mohd Ismail mula menjual jagung sejak 13 tahun lalu tetapi mula menanam sejak empat tahun lalu.

"Kami berharap akan hujan kerana dapat membantu pertumbuhan jagung kerana air sungai juga kering," katanya.

Seorang lagi penanam dan peniaga jagung, Jizah Daud, 61, berkata, sebelum ini dia dapat mengutip 6,000 jagung manis madu tetapi kini banyak yang rosak akibat cuaca panas.

Jizah menunjukkan anak jagung yang dijual di gerainya.
Jizah menunjukkan anak jagung yang dijual di gerainya.

"Menanam jagung tidak sukar namun tanaman itu cepat rosak jika tiada hujan.

"Saya juga reda dengan ujian ini dan bersyukur jika sudah ditetapkan rezeki yang ada," katanya.

Jizah mendakwa sebelum ini ada berdepan cuaca antara 37 hingga 42 darjah celcius menyebabkan keadaan sungai mengering.

"Sepatutnya tanaman jagung saya untuk jualan sempena Hari Raya Aidilfitri namun apakan daya kerana cuaca panas melampau," katanya.