Mahkamah benar warta notis lucut hak UMNO Pekan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mewartakan notis bagi memanggil pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terhadap wang lebih RM700,000 disita daripada UMNO Bahagian Pekan serta 40 individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan notis itu diwartakan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai.

Notis itu bertujuan memanggil pihak ketiga untuk hadir ke mahkamah sama ada secara sendiri atau melalui peguam untuk memberikan tunjuk sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Wang berjumlah RM700,000 yang disita pihak berkuasa itu adalah berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Antara individu yang dinamakan sebagai responden hadir ke mahkamah termasuk Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Khairuddin Mahmud, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pekan, Sida Tantiana Sariat.

Pada prosiding itu, Najib dan anaknya, Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Mohamad Najib yang turut dinamakan sebagai responden tidak hadir pada prosiding hari ini.

Peguam, Datuk M Reza Hassan mewakili UMNO Pekan, Najib dan 39 individu yang dinamakan selaku responden.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes dan mewartakan lucut hak.

Artikel Berkaitan:

Reza sebelum itu memohon supaya mahkamah menangguhkan prosiding perlucutan hak berikutan pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Saya mendapat arahan daripada anak guam untuk membuat permohonan penangguhan. Kami telah pun fail rayuan pada 30 Ogos lalu,” katanya.

Allan bagaimanapun membantah kerana prosiding perlucutan hak tidak mengganggu proses rayuan.

Nazlan kemudian menetapkan 3 Oktober depan untuk pendengaran permohonan penangguhan itu.

UMNO Pekan sebelum ini memohon untuk membatalkan permohonan lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 yang dibekukan.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, Mohd Nazlan melucut hak wang milik Yayasan Tun Rahah dan diserah kepada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun prosiding diadakan dalam kamar dan jumlah wang tidak dimaklumkan.