Gesa pantau aktiviti tidak bermoral di Melaka

Kamaruddin Sidek
Kamaruddin Sidek
A
A
A

MELAKA - Pas Melaka mengingatkan kerajaan negeri supaya bersiap siaga menghadapi penganjuran pelbagai aktiviti tidak bermoral oleh pihak tertentu yang mungkin diadakan di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek berkata, penguatkuasaan undang-undang dan akta sedia ada perlu dilakukan bagi membendung perkara itu.

Menurut beliau, ini susulan pihaknya mengesan satu pesta buih dinamakan 'Pool Party' bakal dianjurkan sebuah hotel di negeri ini yang dijadualkan berlangsung hari ini bermula jam 7 pagi hingga tengah malam.

"Pas Melaka memandang serius aktiviti tidak bermoral ini kerana dipercayai membabitkan lelaki dan wanita dalam satu kolam. Sungguh menjelikkan.

"Saya difahamkan aktiviti tersebut tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa. Kerajaan negeri juga diharapkan proaktif dalam isu seumpama ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, beliau dimaklumkan program tersebut diumumkan batal menerusi akaun Facebook milik penganjur yang bersedia memulangkan semula nilai tiket yang telah ditempah.

"Program tidak bermoral ini sebenarnya akan membunuh sektor pelancongan negeri pada masa akan datang.

"Difahamkan, pihak penganjur terpaksa membatalkan program ini kerana mendapat bantahan banyak pihak khususnya masyarakat Islam di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin memaklumkan pihaknya tiada menerima sebarang permohonan untuk menganjurkan aktiviti tersebut.

"Memang MBMB tidak terima permohonan. Kalau ada sekalipun, MBMB tidak akan benarkan sebab bukan aktiviti selaras dengan lesen hotel, bahkan tidak selaras dengan budaya dan sensitiviti tempatan.

"Semakan di talian telefon yang diberi juga menafikan adanya aktiviti berkaitan," katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani ketika dihubungi berkata, penganjuran seumpama itu akan mencacatkan sambutan kemerdekaan negara, lebih-lebih lagi dalam masa sama umat Islam juga akan menyambut Maal Hijrah.

"Sensitif kewarganegaraan dinodai dengan gejala songsang LGBT. Lebih berat lagi apabila konsep syukur dengan kemerdekaan musnah apabila kegembiraan menyambut kemerdekaan dicampur dengan maksiat dan kemungkaran," katanya.