Ratifikasi ICPPED pastikan perlindungan undang-undang kehilangan paksa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) percaya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) memastikan perlindungan undang-undang dan remedi diberikan kepada mangsa dan menggambarkan komitmen bahawa kehilangan paksa tidak diterima di Malaysia.

Suhakam dalam satu kenyataan hari ini percaya bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan, adalah penting untuk mengakui bahawa kehilangan paksa ini wujud.

"Suhakam percaya ratifikasi ICPPED tidak hanya memastikan agar perlindungan undang-undang dan remedi diberikan kepada mangsa-mangsa kehilangan paksa, tetapi ia juga menggambarkan komitmen bahawa kehilangan paksa tidak diterima di Malaysia.

"Pada ketika ini, tiada undang-undang atau peraturan-peraturan yang berkaitan dengan kehilangan paksa di Malaysia dan peruntukan terhadap penyelesaian sekiranya berlaku kehilangan yang melibatkan kerajaan atau agensinya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kes-kes dakwaan kehilangan paksa sering kali diklasifikasikan sebagai kes-kes orang hilang, pemelarian atau penculikan dan oleh yang demikian, tiada data rasmi mengenai jumlah kes-kes sebegini di Malaysia.

Kenyataan Suhakam dikeluarkan hari ini bagi memperingati tarikh 30 Ogos sebagai Hari Antarabangsa Mangsa-mangsa Kehilangan Paksa.

Sementara itu, Suhakam maklum bahawa kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang bertujuan untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat dan mengikuti perkembangan siasatan dengan teliti.

"Bagaimanapun, Suhakam kesal kerana terma rujukan pasukan petugas khas ini tidak diketahui umum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, Suhakam telah menamatkan siasatan awam mengenai kehilangan mereka dan penemuan siasatan boleh diakses oleh orang awam serta media selepas laporannya dilancarkan di laman webnya 3 April lepas.

"Melalui siasatan awam tersebut Suhakam memutuskan kehilangan paksa sememangnya berlaku," katanya.

April lalu, Suhakam mengeluarkan laporan yang membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat dengan kehilangan secara paksa Koh dan Amri, dan susulan laporan itu, Kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah PPK dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu.

PPK itu yang dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda, turut dianggotai Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria; Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis Kementerian Dalam Negeri Mohd Russaini Idrus; Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azian Umar; pengamal bebas undang-undang Datuk Roger Tan Kor Mee dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Zamri Yahya.

PPK tersebut diberi tempoh masa enam bulan untuk melengkapkan siasatan dan menyediakan laporan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Koh, 64, dilapor diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, pada 13 Feb 2017, sementara Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, dilaporkan hilang sejak 24 Nov 2016. - Bernama