Masih wujud amalan 'Amanat Haji Hadi' di Terengganu, dedah Bersatu

Zulkifli (kiri) ketika program penyerahan 1,000 Jalur Gemilang di Pejabat Bersatu Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Zulkifli (kiri) ketika program penyerahan 1,000 Jalur Gemilang di Pejabat Bersatu Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Terengganu mendakwa masih wujud amalan daripada kontroversi 'Amanat Haji Hadi' pada era 1980-an dalam kalangan pemimpin masyarakat setempat.

Ketua Bahagiannya, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, kesan amanat yang disampaikan sejak 38 tahun lalu itu tidak kelihatan pada peringkat permulaan pemerintahan Pas di Terengganu.

Katanya, pada peringkat awal pemerintahan Pas perkara itu dilihat tidak begitu ketara, begitu juga ketika Pas memerintah Terengganu pada 1999.

"Kita menyangka isu ini telah dilupakan, tetapi jika diimbau pada 1999 berlaku masalah antara Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Selepas penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) senyap seketika, namun masalah lain pula tercetus. Saya dapat maklumat ada masalah timbul terutama di kawasan pedalaman," katanya.

Beliau ditemui selepas program penyerahan Jalur Gemilang di Pejabat Bersatu Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Zulkifli mendakwa, amalan sembahyang dua imam telah mula ketara selain terdapat perebutan kuasa atas sesuatu kemudahan yang ada.

"Sebagai contoh macam kemudahan dewan atau padang di sesebuah kampung. Apabila sesuatu pihak mengawalnya dia kawal sungguh-sungguh, tidak mahu berkongsi dengan pihak lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Zulkifli tidak menyatakan lokasi terlibat, beliau sebaliknya menyeru supaya permainan politik sedemikian dihentikan.

"Saya ingin menyeru kepada rakyat Terengganu supaya permainan politik begini dihentikan.

"Biarlah kerajaan sedia ada baik kerajaan persekutuan dan negeri yang menjalankan tanggungjawab mereka memajukan negeri ini," katanya.

Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, perpaduan antara orang Melayu Islam amat penting.

"Kita tahu kita sekarang dalam keadaan susah terutama melibatkan faktor ekonomi.

"Adalah lebih elok kita semua bersatu padu sesuai dengan tema Sayangi Malaysiaku dan Malaysiaku Bersih," katanya.