Pembenihan awan mungkin dilakukan

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Sr Dzulkefly Ahmad ketika bercakap kepada pemberita.
Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Sr Dzulkefly Ahmad ketika bercakap kepada pemberita.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Prosedur pembenihan awan antara langkah alternatif yang kemungkinan dicuba sebagai usaha untuk memadamkan kebakaran hutan di Kampung Pekajang, dekat Iskandar Puteri.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun beliau akan terlebih dahulu berbincang dengan pihak Jabatan Meteorologi.

"Kita akan cuba menggunakan prosedur pembenihan awan yang mana ia mempunyai dua syarat. Pertama kalau kawasan ini diisytiharkan sebagai darurat oleh Kerajaan Persekutuan dan kosnya ditanggung oleh pihak Persekutuan.

"Keduanya jika tidak diisytiharkan sebagai kawasan darurat ia ditanggung oleh kerajaan negeri, kebiasaan dengan kerjasama daripada Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai situasi semasa kebakaran hutan di Kampung Pekajang, dekat Iskandar Puteri yang telah memasuki hari kelima.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar ditemui selepas hadir ke Majlis Pelantikan Sekolah Angkat UDA Holdings Berhad dan Sambutan Hari Kebangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal bagi membincangkan mengenai langkah alternatif itu.

"Kita tidak menolak (kemungkinan) untuk kita cuba usaha tersebut walaupun kos saya difahamkan RM35,000 sehari, memakan masa antara dua tiga jam pembenihan dan biasa

akan dibuat paling minimum dalam lima ke 10 hari.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan cuba berbincang dengan menteri besar, untuk kita gunakan dana bencana yang telah diperuntukkan mantan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian sebanyak RM30 juta. Sebahagiannya telah digunakan semasa insiden di Pasir Gudang (iaitu) pencemaran udara dan Sungai Kim Kim.

"Masih berbaki dan kita akan cuba menggunakan dana ini bagi melakukan kerja pembenihan awan di kawasan Kampung Pekajang," katanya.

Selain itu katanya, langkah alternatif lain adalah menggunakan air laut dan pihak bomba kini sedang melakukan kajian bagi melihat kemungkinan ia dapat dilaksanakan.

"Hari ini pihak bomba tengah membuat kajian kerana mereka ada hos paling panjang adalah 60 meter. Sekiranya 60 meter itu boleh sampai ke kawasan kebakaran, mereka akan menggunakan air laut ini sebagai sumber memadam api," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian berkenaan, beliau berkata, kebakaran sejak 21 Ogos itu sudah merebak sehingga hampir 16 hektar dan pihak bomba telah berjaya mengawal separuh daripada kawasan setakat ini.

Dzulkefly memberitahu, tindakan membina parit di sekeliling kawasan kebakaran juga telah dilakukan bagi mengelak kebakaran terus merebak berikutan lokasi tersebut bertanah gambut selain faktor cuaca kering dan berangin.

"Keseluruhan kawasan itu hampir kesemuanya kita sudah bina parit dan kita masukkan air. Alhamdulillah dari segi pembakaran, ia terkawal. Isu sekarang bagaimana kita cuba memadamkan api dengan segera.

"Tetapi malangnya bila kita membuat tinjauan udara baru-baru ini, tidak ada sumber air semula jadi sama ada parit ataupun tasik di sana. Air parit pun hampir kering kerana cuaca musim kering sekarang ini. Jadi alternatifnya dengan kita menggunakan bekalan air daripada (Ranhill) SAJ.

"Cuma dalam masa beberapa hari ini akan ada catuan air. Saya telah pun berbincang dengan Exco Utiliti, Jimmy Puah pagi tadi supaya kemungkinan keseluruhan catuan air atau sebahagian melibatkan Kampung Pekajang itu dapat dielakkan, agar bekalan air untuk kegunaan bomba dapat terus digunakan," katanya.

Semalam media melaporkan kira-kira 60 peratus daripada 16 hektar keluasan hutan di Kampung Pekajang, Gelang Patah yang terbakar sejak Rabu lalu sudah berjaya dipadamkan.

Bomba memaklumkan operasi mengawal kebakaran berkenaan kini diteruskan dengan usaha pembinaan ‘fire break’ bagi mengekang api daripada merebak.