[VIDEO] Masih ada taburan hujan, tidak perlu pembenihan awan

Mohammad Nizar ketika meninjau keadaan Alur Limpah Selatan, Empangan Bukit Merah ketika lawatan kerjanya pada Khamis.
Mohammad Nizar ketika meninjau keadaan Alur Limpah Selatan, Empangan Bukit Merah ketika lawatan kerjanya pada Khamis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Operasi pembenihan awan di daerah Kerian tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat meskipun keadaan paras Empangan Bukit Merah di sini mengalami penyusutan aras kritikal.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan kawasan itu masih mempunyai taburan hujan yang boleh membantu meningkatkan paras di empangan.

Menurutnya, pemantauan dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menunjukkan telah berlaku sedikit peningkatan paras air di empangan daripada 6.68 meter semalam kepada 7.07 meter hari ini.

"Buat masa ini belum lagi (pembenihan awan), memadai dengan apa yang kita lakukan sekarang kerana perkembangan paras air sudah berbeza dari semalam.

"Saya difahamkan paras empangan meningkat sedikit, hanya memerlukan pemantauan rapi kerana bila-bila masa sahaja akan ada perubahan.

"Hanya sekiranya keadaan bertambah teruk, barulah kita akan pergi ke arah penyelesaian melalui pembenihan awan, kita akan laksanakan walaupun ia satu proses rumit dan memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Empangan Bukit Merah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abd Rahman dan Jurutera JPS Daerah Kerian, Mohd Fisham Abu Basah.

Mohammad Nizar berkata, catuan air kepada bekalan pengairan di daerah itu yang dilakukan sejak 29 Mei lepas akan diteruskan sehingga keadaan paras empangan kembali pulih ke paras normal 8.69 meter.

Pemantauan JPS menunjukkan telah berlaku sedikit peningkatan paras air di empangan daripada 6.68 meter semalam kepada 7.07 meter hari ini.
Pemantauan JPS menunjukkan telah berlaku sedikit peningkatan paras air di empangan daripada 6.68 meter semalam kepada 7.07 meter hari ini.

Katanya, catuan ketika ini penting bagi mengelak paras air empangan terus menyusut kepada aras henti bekalan pengairan iaitu di paras 6.10 meter.

"Catuan ini untuk elakkan banyak sangat (air) pergi. Keutamaan JPS yang mengawal empangan ini adalah membekalkan air mentah bagi air terawat oleh LAP supaya cukup kegunaan domestik dan industri kecil.

"Petani kita kawal kerana mereka masih boleh bertahan dengan menjadualkan semula proses penanaman atau menggunakan pam-pam bergerak bagi membantu mendapatkan air," katanya.

Mengenai cadangan pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah, beliau berkata, perkara itu masih di peringkat kajian JPS melalui National Water Balance System (NAWABS) sama ada boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

Menurutnya, kajian awal didapati, saluran air terdekat boleh dilakukan adalah pada jarak 60 kilometer dari Lenggong ke Bukit Merah.

"Kalau kajian itu menyatakan bahawa ada kemungkinan boleh kita sedut daripada Lenggong hantar ke Bukit Merah ini, maka kita akan teruskan.

"Saya sendiri sebagai Exco akan memberikan taklimat kepada MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan). Bila pihak Exco yakin bahawa ini satu penyelesaian jangka panjang yang elok, barulah kita bawa kepada Pusat," katanya.