Dua suspek kes pecah kilang diberkas polis

Antara peralatan yang ditemui dalam bonet kereta yang dinaiki suspek. Gambar kecil: Nik Ros Azhan
Antara peralatan yang ditemui dalam bonet kereta yang dinaiki suspek. Gambar kecil: Nik Ros Azhan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah kilang dan mencuri kabel elektrik dalam kejadian yang berlaku di kawasan Perindustrian Perai di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan ketika berada dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai serbaneka di Lorong Perda Utama 6, Bandar Perda awal pagi tadi.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus sumber manusia yang memaklumkan kilangnya telah dipecah masuk oleh empat lelaki.

"Pengawal keselamatan yang bertugas memaklumkan kepadanya yang dia melihat empat lelaki berkenaan memanjat tembok pagar belakang dan keluar daripada kawasan kilang.

"Pengawal keselamatan itu menjerit sebelum kesemua mereka berjaya melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati beberapa kabel letrik telah di potong dan hilang mengakibatkan kerugian RM2,000.

Katanya, kilang berkenaan tidak lagi beroperasi dan dalam proses untuk dijual selain ia hanya dikawal oleh pengawal keselamatan sahaja.

"Sejurus laporan diterima sepasukan polis diarahkan untuk mengesan suspek dan berjaya menahan mereka beberapa hari kemudian.

Artikel Berkaitan:

"Dua suspek yang ditahan berusia 40 dan 31 tahun. Hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam bonet kereta mereka menemui dua unit alat pemotong, satu unit sepana boleh laras, dua unit pemotong kecil dan dua pasang sarung tangan kain," katanya.

Tambahnya, semakan dibuat mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman selama empat hari untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.