Lima lagi suspek kes ketum, ganja ditahan

Dadah yang dirampas dalam serbuan melibatkan penahanan lima lelaki. Gambar kanan: Air ketum turut dirampas dalam serbuan melibatkan penahanan lima lelaki.
Dadah yang dirampas dalam serbuan melibatkan penahanan lima lelaki. Gambar kanan: Air ketum turut dirampas dalam serbuan melibatkan penahanan lima lelaki.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan lima lagi lelaki dan merampas air ketum serta dadah dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM37,000 dalam dua serbuan berasingan di Tumpat dan Pasir Mas pada Rabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek ditahan susulan tangkapan empat lelaki dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah dan madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh pada Selasa.

Menurutnya, serbuan pertama kira-kira jam 4.30 petang yang dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan.

"Ketika serbuan, mereka ternampak tiga lelaki di tepi jalan di pekarangan parkir hadapan bangunan Unit Perubatan Forensik Hospital Pasir Mas Jalan Pasir Mas-Lati, Pasir Mas yang ketika itu dalam keadaan mencurigakan.

"Dua daripada mereka sedang duduk di atas sebuah motosikal Yamaha NVX manakala seorang lagi di atas sebuah motosikal jenis Yamaha LC," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhamad Zaki memberitahu, anggota dan pegawai polis menghampiri suspek dan pemeriksaan menemui ganja dianggarkan seberat 5,000 gram dan 150 mililiter air ketum dengan nilai keseluruhan RM15,510.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek yang berusia 21 hingga 23 tahun itu turut positif tetrahydrocannabinol (THC).

Jelas beliau, seorang daripada suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) AR 1952," katanya.

Tambah beliau, serbuan kedua kira-kira jam 6.30 petang di sebuah rumah di Kampung Kubang Batang Wakaf Bharu,Tumpat berjaya menahan dua lelaki masing-masing berumur 50-an.

Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui 2,200 pil kuda, 3.27gram ganja dan 30 liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM22,330.

Bagaimanapun katanya, ujian saringan urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun salah seorang mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 30(3) AR 1952.

"Kesemua suspek direman tujuh hari yang berakhir pada 26 Julai," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan sebuah madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh menjadi tempat simpanan 100kg terbongkar selepas serbuan polis melakukan serbuan pada Selasa kira-kira jam 9.15 malam.

Polis menahan empat lelaki berusia 20-an dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Tali Air Kampung But kira-kira jam 9 malam.