Maszlee Malik pejuang bangsa

A
A
A

MAZLEE Malik bukan satu nama asing dalam politik tanah air hari ini.

Sebelum beliau memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebagai seorang pensyarah, beliau sering kali mengeluarkan pandangan kritis dalam isu politik negara.

Sebagai ahli akademik, Maszlee nyata tidak menunjukkan sifat sebagai seorang penganalisis politik yang pro-agenda Melayu.

Malah, apa-apa perbahasan yang bersifat kebangsaan Melayu dilihat agak asing dari sudut pandangan beliau. Sebaliknya, beliau lebih dilihat sebagai seorang Islamis yang keras bagi sesetengah kumpulan liberal.

Apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai pensyarah UiAM, menyertai Bersatu dan bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam, ramai yang merasakan ia satu langkah yang agak tidak cocok memandangkan latar belakang beliau tidak ke arah perjuangan berteraskan bangsa, apatah lagi dirinya yang lebih dikenali sebagai seorang ustaz yang pernah menjadi ahli Jawatankuasa Fatwa negeri Perlis.

Tapi sejarah mencatatkan, Bersatu adalah parti politik pilihan beliau.

Bersatu secara umumnya tidak apogelitik dalam mempersembahkan parti mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu dan nasionalisme Melayu.

Namun begitu, di peringkat kementerian rata-rata menteri lantikan daripada Bersatu tidak begitu menyerlah dalam memperjuangkan agenda Melayu.

Artikel Berkaitan:

Selain Dr Mahathir Mohamad yang dilihat konsisten dan tegas mengeluarkan kenyataan dalam isu berkait agenda Melayu, hanya Maszlee dilihat sebagai pemimpin yang mula menampakkan ciri-ciri pejuang Melayu pada era pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Ditentang

Kes pertama yang mengangkat namanya sebagai menteri yang berani mengangkat dan mempertahankan agenda Melayu adalah dalam isu kuota Melayu di matrikulasi.

Jawapan balas Maszlee terhadap pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi begitu tegas dan padu.

Beliau menjawab dengan sinis dan membangkitkan isu kelayakan serta peluang mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan etnik Cina kerana kelebihan boleh berbahasa Mandarin.

Akibatnya, Maszlee mendapat kecaman ramai pihak terutama daripada MCA, DAP dan Gerakan.

Namun, sosok kecil itu dilihat berani mempertahankan kata-kata beliau dan tidak juga tunduk dengan kumpulan pendesak Cina.

Terkini, dalam isu khat jawi, beliau tidak mundur di sebalik desakan perbagai pihak untuk menarik balik pengenalan khat jawi tersebut.

Pengekalan beberapa muka surat pembelajaran tulisan warisan negara ini dalam sukatan pelajaran sekolah rendah dilihat sebagai penyebab berlakunya ketidakharmonian antara kaum.

Sekali lagi kumpulan pendesak Cina dan India menentang sekeras-kerasnya pelaksanaan ini.

Namun, pakatan dan protes ini gagal untuk memaksa Maszlee menarik balik keputusan beliau.

Malah ada dalam kalangan bekas pimpinan Melayu UMNO mencemuh keputusan beliau dan ada yang menuduh beliau tidak tahu keutamaan dalam pemerintahan kerajaan baharu ini.

Apa pun, dalam isu kuota Melayu di matrikulasi dan pembelajaran tulisan jawi itu, Dr Mahathir jelas bersama mempertahankan keputusan Menteri Pendidikan beliau ini.

Malah, Dr Mahathir menempelak kumpulan pendesak seperti Dong Zong sebagai rasis. Adakah Dr Mahathir telah melihat Maszlee sebagai protégé beliau yang akan meneruskan perjuangan bangsa dalam Bersatu?

Selain itu, penekanan Maszlee terhadap golongan miskin B40 dan pelajar di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak juga adalah langkah menjaga kepentingan hak pendidikan Melayu dan bumiputera.

Penekanan memberi bantuan kepada golongan B40 sebenarnya adalah langkah strategik yang akan mengeluarkan Melayu dan bumiputera daripada kemiskinan melalui pendidikan yang akan mengurangkan perbezaan ekonomi antara kaum.

Walau bagaimanapun, kesemua itu bukanlah bererti Maszlee seorang yang rasis, menekan dan mengabaikan bangsa-bangsa selain Melayu di Malaysia.

Beliau amat terbuka dan menghormati hak-hak pendidikan bangsa-bangsa lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Maszlee membawa citra baharu dalam perjuangan bangsa Melayu.

Perjuangan Melayu versi baharu Bersatu dan Maszlee menolak kebencian antara kaum, menyemai kasih sayang dan saling menghormati. Inilah paparan versi perjuangan Melayu yang berlatarkan nilai-nilai Islam Maszlee Malik.

Beliau bertindak sebagai orang yang sangat faham bahawa dirinya mempunyai peranan yang cukup besar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin Perlembagaan, mempertahankan warisan dan budayanya tanpa mengabaikan peranan sebagai seorang pemimpin kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

* Dr Mohd Afandi Salleh ialah Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu