Perginya permata al-Quran tanah air

Jenazah Allahyarham Abdul Haq disembahyangkan di Masjid Kampung Batu Hampar, Pendang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan pada jam 11 pagi pada Isnin. (Gambar kecil: Allahyarham Abdul Haq)
Jenazah Allahyarham Abdul Haq disembahyangkan di Masjid Kampung Batu Hampar, Pendang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan pada jam 11 pagi pada Isnin. (Gambar kecil: Allahyarham Abdul Haq)
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas juara qari kebangsaan dan antarabangsa sebanyak empat kali, Allahyarham Datuk Abdul Haq atau Abdul Ghani Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan, Pendang pada pagi Isnin.

Anaknya, Ustaz Azraie Abdul Hak dalam catatan di Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan takziah dan membantu memudahkan urusan pengebumian arwah bapanya.

Abdul Haq adalah permata al-Quran di negara ini selain merupakan juara tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 1967, 1972, 1980 dan 1982.

"Alhamdulillah. Selesai urusan pengebumian ayahanda Almarhum Abdul Hak. Damailah dikau di sana. Saya wakil kepada adik-beradik yang lain mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah memberi ucapan takziah, datang menziarahi, datang solat jenazah dan datang ke tempat pengebumian memberi penghormatan terakhir kepada arwah. Moga Allah memberi rahmat kepada kalian semua," kata Azraie.

Azraie yang yang juga juara Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 di Kuwait pada Ahad berkongsi berita sedih apabila mengesahkan arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam.

Sebelum ini, Allahyarham telah pun dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah atas masalah kesihatan.

Jenazah telah dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Batu Hampar, Pendang, dekat sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan pada jam 11 pagi pada Isnin.