Pas digesa selamatkan rizab Melayu

Azan Ismail
Azan Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menggesa kerajaan negeri menunaikan janji menyelamatkan tanah rizab Melayu yang kini dilihat semakin kritikal.

Pengerusinya, Azan Ismail berkata, keluasan 118.21 hektar kawasan tanah rizab itu kini dilihat jauh lebih kecil berbanding negeri-negeri majoriti orang Melayu di negara ini.

"Isu mengenai kawasan rizab Melayu seolah-olah tidak diendahkan dan diberi perhatian oleh Pas walaupun lebih setahun mengambil alih pentadbiran negeri ini.

"Kita masih tidak nampak sebarang pembelaan dilakukan termasuk usaha menyelesaikan enakmen berkaitan tanah tersebut yang dilaporkan telah dipinda UMNO beberapa tahun lalu," katanya.

Katanya, Terengganu bakal kehilangan tanah rizab Melayu ekoran pelanggaran undang-undang yang didakwa dilakukan UMNO di samping faktor pengambilan tanah bagi memberi laluan kepada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata, perkara itu timbul kerana kerajaan Pas sebelum ini berikrar untuk segera menyelesaikan isu itu serta membatalkan enakmen tanah yang diluluskan UMNO bagi membolehkan UMNO Terengganu mengambil alih tanah rizab Melayu.

"Sekiranya perkara ini berterusan, kita lihat ada dua penyimpangan yang sangat jelas iaitu kedudukan semasa yang tidak dibaiki di samping kemungkinan lebih banyak tanah rizab Melayu yang bakal diambil atau telah dikenal pasti untuk diambil tanpa diganti.

"Hal ini dikhuatiri akan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Terengganu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai keluasan tanah yang diwartakan sebagai rizab Melayu di negeri ini, katanya, pada asalnya hanya di bandar Kuala Berang dan sekitar Mukim Tanggol, Hulu Terengganu dirizabkan dengan keluasan 100.36 hektar sejak 1964.

Bagaimanapun katanya, selepas pembatalan dibuat pada 2004 ekoran pengambilan tanah bagi pembangunan projek seperti sekolah, balai polis di samping beberapa jabatan dan agensi kerajaan, ia digantikan dengan kawasan seluas 118.21 hektar pada tahun yang sama.

Azan berkata, walaupun kawasan yang diwartakan kini hanya seluas 118.21 hektar, negeri ini turut mempunyai tanah pegangan Melayu yang diwujudkan mengikut Enakmen Rizab Melayu Terengganu Bilangan 17 Tahun 1360.

"Jika kedudukan tanah rizab Melayu boleh diancam dengan enakmen yang membenarkan pindahan kepada parti politik sebagaimana yang dilakukan UMNO, maka tidak ada jaminan perlindungan sama ada kepada kawasan rizab Melayu mahupun tanah pegangan Melayu.

"Jadi, saya minta kerajaan negeri membuat penjelasan berhubung isu ini termasuk mengemukakan pelan jangka panjang untuk menyelamatkan tanah rizab Melayu di Terengganu," katanya.