MHO mahu PTG Perak kembalikan tanah rizab Melayu

Hishamuddin (tengah) melihat Riza (kiri) menerangkan sesuatu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung hasrat MHO menyerahkan memorandum kepada Jabatan Audit Negara di Putrajaya pada Selasa.
Hishamuddin (tengah) melihat Riza (kiri) menerangkan sesuatu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung hasrat MHO menyerahkan memorandum kepada Jabatan Audit Negara di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suasana di Jabatan Audit Negara, dekat sini sedikit kecoh apabila wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tidak dibenarkan masuk bagi menghantar memorandum kepada jabatan itu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setelah menanti lebih dari sejam di pintu masuk jabatan itu, akhirnya dua wakil pertubuhan itu dibenarkan masuk bagi menghantar memorandum.

Namun begitu kata beliau, wakil MHO yang dibenarkan masuk iaitu Penasihat Strategik, Tan Sri Musa Hassan dan Penasihat Undang-Undang, Riza Khalid gagal menyerahkan memorandum kepada pegawai khas Ketua Audit yang mewakili jabatan itu.

Beliau berkata, wakil Jabatan Audit Negara itu tidak dapat menerima serahan memorandum yang ingin dibuat MHO, sebaliknya meminta memorandum tersebut diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak.

Musa (tengah) dan Hishamuddin (dua dari kanan) bersama ahli MHO menunjukkan geran tanah rizab Melayu yang dimiliki oleh bukan Melayu di Sitiawan, Perak.
Musa (tengah) dan Hishamuddin (dua dari kanan) bersama ahli MHO menunjukkan geran tanah rizab Melayu yang dimiliki oleh bukan Melayu di Sitiawan, Perak.

"Kita hadir pada hari ini ingin menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Audit Negara berhubung isu pengurusan tanah rizab Melayu di Perak.

"Setelah kami merujuk kepada Laporan Audit Negara 2019 (Siri 2) negeri Perak yang telah dikeluarkan oleh pihak Ketua Audit Negara Malaysia, pengurusan tanah rizab Melayu di negeri Perak adalah kurang cekap dan kurang berkesan.

"Bukan sahaja tanah-tanah rizab Melayu telah bertukar status iaitu dipindah milik kepada bukan Melayu, malah kami difahamkan terdapat sebilangan tanah ini masih berstatus rizab Melayu tetapi dimiliki oleh bukan Melayu," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, memorandum tersebut menggesa Ketua Audit Negara supaya memberi syor dan saranan kepada PTG Negeri Perak untuk mengembalikan tanah rizab Melayu.

Tegasnya, PTG Negeri Perak tidak boleh membuat pindah milik kepada bukan Melayu, sepatutnya dipulangkan balik kepada 'status quo' atau status yang asal.

Beliau mendakwa, MHO berpandangan bahawa berdasarkan rang undang-undang yang sedia ada, tidak mustahil tanah-tanah rizab Melayu tersebut telah dipindah milik secara salah dan berlaku kesilapan.

Jelas beliau, pendaftar pejabat tanah mempunyai kuasa yang mutlak bagi melakukan pembetulan tersebut.

"Dipercayai berlaku pindah milik kepada bukan Melayu melibatkan satu lot tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru, Perak Tengah dan dua lot tanah rizab Melayu di Mukim Setiawan, Manjung yang keseluruhannya meliputi tanah seluas 3,214 hektar.

"Selain itu, tanah rizab Melayu Pengkalan Baru, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjung seluas 14.67 hektar juga dipercayai telah dipajak kepada syarikat bukan Melayu," katanya.

Sehubungan itu Hishamuddin berkata, Ketua Audit Negara bukan sekadar perlu mengemas kini sistem yang ada, sebaliknya bertegas dan mengesyorkan pihak terlibat seperti PTG memulangkan balik tanah rizab Melayu.