Perak perbaiki kelemahan pengurusan tanah rizab Melayu

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak telah mengambil langkah memperbaiki kelemahan dalam pengurusan berkaitan tanah rizab Melayu negeri ini seperti yang dinyatakan dalam laporan Audit Negara 2019.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu kembalikan tanah rizab Melayu itu tidak timbul apabila status tanah berkenaan kekal meskipun pemiliknya bukan Melayu.

"Isu ini berlaku di Sitiawan apabila tanah itu dimiliki anak syarikat bumiputera. Kemudian syarikat itu dijual kepada bukan Bumiputera maka pembeli berhak kepada semua harta syarikat.

"Jadi itu dipanggil kategori rizab Melayu pemilikan bukan Melayu, status tanah masih kekal, tidak hilang cuma pemilikannya bukan Melayu jadi, tidak timbul cerita hendak kembalikan rizab Melayu," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Juadah Raya Kerajaan Negeri kepada Pasukan Badan Beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai tindakan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan memorandum bagi menggesa Ketua Audit Negara supaya memberi syor dan saranan kepada PTG Negeri Perak untuk mengembalikan Tanah Rizab Melayu.

Saarani bersama pegawai-pegawai pasukan badan beruniform pada Majlis Penyerahan Juadah Raya Kerajaan Negeri di Ipoh.
Saarani bersama pegawai-pegawai pasukan badan beruniform pada Majlis Penyerahan Juadah Raya Kerajaan Negeri di Ipoh.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan cuba memperbaiki kelemahan-kelemahan pentadbiran terhadap pemilikan tanah rizab Melayu oleh syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) dari masa ke masa.

"Contohnya apabila mana-mana syarikat Sdn Bhd yang berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) asalnya pemegang saham 100 peratus bumiputera dan memiliki Tanah Rizab Melayu sama ada beli atau dianugerahkan.

"Tiba-tiba syarikat itu dijual kepada bukan Melayu atau 50 peratus kepunyaan bukan Melayu maka kategorinya tidak lagi dikatakan syarikat bumiputera tetapi harta dibeli termasuk rizab Melayu.

"Situasi ini di luar kawalan PTG. PTG bukan boleh kawal orang jual syarikat melainkan penjualan tanah sahaja. Harta itu bagaimanapun masih lagi harta rizab Melayu," katanya.

Jelas Saarani, perkara itu telah dibangkitkan kepada kementerian terlibat dan SSM perlu menyemak kembali polisi pertukaran syarikat berstatus Bumiputera kepada bukan bumiputera dan harta dimilikinya, dua tahun lalu.

"Sebab itu dari semasa ke semasa kita cuba perbaiki supaya kes seperti ini tidak berlaku lagi. Kita juga berusaha menambah peratusan keluasan rizab Melayu.

"Jika ada Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) diluluskan maka kita daftarkan ia sebagai rizab Melayu, jika ada Rancangan Pertanian Berkelompok pun kita letak di bawah rizab Melayu. Kawasan dimiliki Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kita rizabkan ia sebagai rizab Melayu," katanya.