Keputusan kekal atau pindah kilang bateri diputus akhir bulan ini
KUALA LANGAT - Keputusan sama ada akan mengekalkan atau memindahkan sebuah kilang bateri yang beroperasi di Jenjarom di sini ke kawasan industri lebih sesuai akan diumumkan kerajaan negeri akhir bulan ini.
Mengulas bantahan penduduk di depan kilang itu semalam, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri menghormati hak perhimpunan dan hak bersuara rakyat malah sedia mendengar serta mengadakan perbincangan dengan semua pihak terutama melibatkan hal berkaitan kepentingan orang ramai.
Menurutnya, pihaknya berharap penduduk di sekitar kilang berkenaan dapat bersabar sementara menunggu hasil kajian dan keputusan pihak berkuasa negeri.
"Kerajaan negeri sentiasa ambil berat isu pencemaran alam sekitar dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar atau tidak mematuhi piawaian serta peraturan sedia ada.
"Kerajaan Selangor juga bertindak adil kepada pihak berkepentingan termasuk pelabur yang menjalankan perniagaan di negeri ini jika mereka mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.
"Dalam isu kilang bateri ini, kerajaan negeri telah membuat beberapa siasatan dan kajian ke atas kemungkinan pencemaran terhadap air, udara serta tanah disebabkan aktiviti pihak kilang dan membawa kesan negatif ke atas alam sekitar serta kesihatan penduduk dalam kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Loy Sian berkata, agensi kerajaan terlibat dalam siasatan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS).
Katanya, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) juga telah diarahkan menyelaras dan mengumpul semua hasil kajian selewat-lewatnya pertengahan bulan ini daripada agensi terlibat dan menyediakan laporan menyeluruh kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk diputuskan akhir bulan ini.
"Kerajaan sedang ambil tindakan sewajarnya mengikut kehendak undang-undang dan sentiasa prihatin ke atas masalah pencemaran alam sekitar yang memudaratkan kesihatan namun prinsip keadilan kepada pihak terlibat juga perlu dipertahankan.
"Ketika ini pihak MDKL dan JAS diarah untuk pantau keadaan dan aktiviti kilang berkenaan dengan rapi," katanya.
Semalam, satu himpunan bantahan secara aman dianjur oleh penduduk yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan MDKL mengeluarkan lesen sementara kepada kilang tersebut.
Dalam satu maklum balas, MDKL memberitahu keputusan itu dibuat setelah mengambil kira surat sokongan daripada jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, JAS sebagai jabatan teknikal memberi ulasan tiada halangan kilang tersebut meneruskan operasi setelah Perintah Larangan di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan sebelum ini ditarik balik.
ARTIKEL BERKAITAN: MDKL keluar lesen selepas terima surat sokongan JAS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!