MDKL keluar lesen selepas terima surat sokongan JAS

Penduduk membuat bantahan pengoperasian semula kilang bateri di Jenjarom hari ini.
A
A

BANTING - Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menegaskan lesen sementara dikeluarkan pihaknya kepada sebuah kilang bateri di Jenjarom yang operasinya menerima bantahan penduduk sebelum ini adalah selepas menerima surat sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, JAS sebagai jabatan teknikal memberi ulasan tiada halangan kilang tersebut meneruskan operasi setelah Perintah Larangan di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan sebelum ini ditarik balik.

Bagaimanapun katanya, pihak kilang perlu mematuhi beberapa syarat dikeluarkan JAS termasuk tidak menjalankan aktiviti dan operasi melebur plumbum sehingga kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dikeluarkan.

“Lanjutan daripada penarikan balik perintah larangan tersebut, MDKL bersetuju timbang permohonan lesen perniagaan sementara selama dua bulan mulai 19 Jun hingga 19 Ogos ini dengan syarat, pihak kilang mestilah mematuhi syarat ditetapkan JAS yang dikeluarkan pada 12 Jun lalu.

“Antara syaratnya pihak kilang perlu pastikan premis mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Mereka juga perlu pastikan tujuh Environmental Mainstreaming Tolls telah dilaksanakan bagi operasi premis sedia ada,” katanya mengulas himpunan bantahan pengoperasian semula kilang yang diadakan penduduk hari ini.

Beliau berkata, pihak kilang perlu mematuhi syarat dikeluarkan Jabatan Kawalan Bangunan MDKL yang ditetapkan pada 6 Mei lalu.

Menurutnya, jika pengusaha kilang melanggar mana-mana peraturan ditetapkan oleh pihak JAS atau MDKL, lesen sementara tersebut akan ditarik balik.

“Pemantauan akan terus dilakukan oleh pihak JAS dan MDKL untuk memastikan syarat dan peraturan dipatuhi.

“Saya ingin tegaskan semua kelulusan lesen sementara dan kekal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia