Semak keadaan jerebu sebelum buat aktiviti luar

Abdul Aziz (empat dari kiri) melihat seorang murid menjalani pemeriksaan mata sempena Projek Pemeriksaan Mata untuk Pelajar-pelajar Sekolah Negeri Perak di SK Kuala Pari hari ini.
Abdul Aziz (empat dari kiri) melihat seorang murid menjalani pemeriksaan mata sempena Projek Pemeriksaan Mata untuk Pelajar-pelajar Sekolah Negeri Perak di SK Kuala Pari hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua pentadbir sekolah terutama guru besar dan pengetua diminta mendapatkan maklumat terlebih dahulu daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kaji Cuaca berhubung situasi terkini jerebu sebelum membenarkan aktiviti luar diadakan.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, langkah itu penting memandangkan pencemaran udara yang melanda negara ketika ini berada pada tahap buruk pada tempoh-tempoh tertentu.

"Terdapat beberapa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang memerlukan aktiviti di luar kawasan sekolah dihentikan.

"Walaupun situasi ini dipantau jabatan, kita harap guru dan pengetua lebih maklum berkaitan isu ini bagi memastikan kesihatan pelajar di bawah jagaan mereka terjaga," katanya selepas merasmikan Projek Pemeriksaan Mata untuk Pelajar-pelajar Sekolah Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pari hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini memaklumkan bahawa negara bakal berdepan dengan pencemaran udara atau jerebu disebabkan oleh kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Berdasarkan peta taburan IPU di laman web JAS setakat semalam, Perak berada dalam kategori sederhana dengan bacaan antara 61 hingga 90.

Sementara itu, dalam program anjuran Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Saga Insan Perak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan dan Rizal Optometris itu, seramai 30 murid tahun enam SK Kuala Pari berpeluang menjalani pemeriksaan mata secara percuma.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, kerjasama itu bukti bahawa terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta yang mahu menyumbang dalam kegiatan melibatkan sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program yang masuk tahun kedua itu telah membuat saringan mata ke atas 4,800 murid di sekolah seluruh negeri antaranya dalam daerah Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar.

"Menerusi mesyuarat bersama Menteri Pendidikan dan Exco Pendidikan seluruh negara di Putrajaya semalam, ada disebutkan bahawa kerajaan akan berikan insentif cukai kepada syarikat-syarikat swasta bagi membolehkan mereka turut serta dalam pembinaan atau penambah baikan sekolah.

"Walaupun perkara ini (cukai) sudah berjalan, tetapi kita merasakan ia perlu disistemkan dengan cara lebih baik untuk memberi ruang lebih besar kepada NGO dan swasta," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Mata Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Datuk Dr Jasvinder Singh berkata, daripada murid yang telah diperiksa menerusi program itu didapati, 10 ke 11 peratus memerlukan pemeriksaan lanjut disebabkan masalah refleksi pada mata seperti rabun jauh dan dekat.

"Jika lebih ramai NGO tampil untuk turut serta, kita boleh jalankan program sama di sekolah yang terletak di perkampungan kecil. Di sana mereka lebih memerlukan perkhidmatan seperti ini kerana tiada tenaga pakar berbanding di bandar yang ada hospital kerajaan dan swasta," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!