Guru besar, pengetua tolong beri kerjasama

Sebahagian murid sekolah memakai pakaian sukan selepas KPM membenarkan murid, guru dan anggota pelaksana di sekolah memakai pakaian atau baju sukan yang sopan susulan cuaca panas. - Foto Bernama
Sebahagian murid sekolah memakai pakaian sukan selepas KPM membenarkan murid, guru dan anggota pelaksana di sekolah memakai pakaian atau baju sukan yang sopan susulan cuaca panas. - Foto Bernama
A
A
A

PENING Merak Jalanan memikirkan apabila anak-anak balik dari sekolah dan beritahu cikgu sekolah tidak membenarkan semua pelajar memakai baju-T sukan sepanjang fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Apabila ditanya kembali adakah ini arahan guru kelas? Anak-anak menjelaskan guru memberitahu ia adalah arahan daripada pengetua.

Seingat Merak Jalanan arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malyasia (KPM) awal bulan lalu bukan sahaja memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar sekolah tetapi juga termasuk guru-guru.

Malah pemberitahuan ini sudah disiarkan semua media cetak dan elektronik dan mustahil rasanya sekolah-sekolah tidak mendapat pekeliling daripada KPM.

Apa yang membuatkan Merak Jalanan termenung memikirkan hal tersebut ialah bagaimana pengetua boleh ingkar arahan yang dikeluarkan oleh KPM?

Sekiranya begini, maka tiada guna KPM keluarkan arahan di mana ia tidak dipatuhi oleh semua guru besar dan pengetua sekolah seluruh negara.

Jadi apakah fungsi KPM sebagai sebuah kementerian sekiranya segala arahan tidak dipatuhi dan diikuti orang bawahan?

Alahai guru besar dan pengetua sekolah. Kenapa benda yang remeh hendak disusahkan. Apakah yang cuba disampaikan oleh guru besar dan pengetua apabila arahan KPM tidak dipatuhi?

Merak Jalanan juga sebenarnya ingin tahu apakah sebabnya pengetua sekolah anak Merak Jalanan tidak membenarkan pemakaian baju sukan.

Bukannya para pelajar berbogel, baju sukan tetap baju rasmi sekolah dan rasanya pemakaian murid dan juga pelajar tidak mengganggu sistem pembelajaran di sekolah.

Merak Jalanan berharap KPM dapat mengeluarkan arahan yang meminta semua sekolah mesti mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan dan bukannya sekadar arahan tanpa tindakan.