Kempen anti-Lynas Fuziah makan diri

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mengkritik kenyataan terkini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berhubung isu kilang nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas).

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata kelantangan Ahli Parlimen Kuantan itu ternyata memakan diri apabila membuat kenyataan bahawa operasi Lynas terpaksa diteruskan di Gebeng kerana hutang negara dengan Jepun.

"Kempen anti-Lynas adalah kempen yang memakan diri sendiri kerana beliau tidak memahami asas radioaktif itu sendiri. Apabila menjadi kerajaan pada hari ini, beliau menuduh operasi kilang Lynas terpaksa diteruskan akibat hutang dari Jepun yang mereka sendiri cipta.

"Ini adalah suatu jenaka tidak cerdik yang beliau lakukan dengan menyalahkan hutang dibuat kerajaan mereka sendiri dengan suatu isu yang boleh kerajaan mereka sendiri putuskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hutang Jepun yang dipinjamkan kepada Malaysia tidak sepatutnya dipersalahkan dalam apa-apa isu dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada waktu ini.

"Sekarang ini, hutang Kerajaan Malaysia telah meningkat sebanyak RM 776 billion daripada RM 686 billion tidak sampai 500 hari PH memerintah.

"Hutang kerajaan melalui bon ini juga dipersetujui oleh Perdana Menteri mereka. Apakah beliau sudah lupa?" katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Lynas: Kerajaan tersepit kerana pinjaman Jepun, kata Fuziah

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Fuziah yang terkesan dengan kritikan negatif rakyat Malaysia akhirnya membuka mulut menjelaskan situasi sebenar Lynas dengan mendakwa kerajaan tersepit kerana pihak yang mendapat manfaat hasil nadir bumi yang diproses kilang itu ialah Jepun.

Katanya Jepun adalah negara yang meminjamkan wang kepada Malaysia dalam bentuk Bon Samurai dan sekiranya Malaysia tidak meluluskan lesen operasi Lynas ia akan mengakibatkan industri hiliran di Jepun lumpuh.

Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, Fuziah perlu memahami asas radioaktif sebelum melancarkan kempen anti-Lynas sewaktu bergelar pembangkang.

"Kenyataan demi kenyataan beliau setelah menjadi kerajaan telah berubah 360 darjah. Heroin alam sekitar ini nampaknya tidak pernah serik dan belajar daripada kesilapan.

"Apakah orang yang sebegini layak memimpin sebuah kementerian? Dia lupa apa yang dilakukan, memfitnah dan memburukkan kerajaan sebelum ini, hari ini dia menerima padahnya apabila rakyat tidak lagi percaya kepadanya," katanya.