Perlombongan haram nadir bumi mungkin libatkan 'orang luar'

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan aktiviti perlombongan haram nadir bumi di dua lokasi di negeri ini bukan saja melibatkan rakyat tempatan tetapi juga 'orang luar`.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini kerana ada kepakaran tertentu yang digunakan dalam melakukan aktiviti cari gali itu tidak diketahui.

Bagaimanapun katanya, ia masih dalam siasatan termasuk kaitan aktiviti tersebut dengan pemilik tanah di kedua-dua lokasi penemuan.

"Kita ada dengar maklumat kemungkinan ia melibatkan orang luar. Tapi saya harap ia tak tepat dan jika betul, ia merupakan perkara yang harus diberi perhatian serius.

"Ini kerana, kita tak pernah ada kepakaran tentang cari gali itu dan nampak dalam gambar rajah itu juga perlu latihan dan kemahiran ahli geologi untuk pastikan kawasan itu apabila digali ada hasilnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Jelasnya, kerajaan negeri tiada masalah untuk membenarkan aktiviti berkenaan selagi ia tidak membahayakan keselamatan penduduk.

Namun katanya, sehingga kini tiada permohonan diterima daripada mana-mana pihak dan kerajaan negeri juga menunggu prosedur operasi standard (SOP) Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu.

"Kita bole buat, tapi biar ia selaras seluruh negara kerana kita dah bercakap isu nadir bumi ini tiga atau empat tahun lepas lagi, tapi belum lagi dikeluarkan SOP yang sesuai.

"Yang pentingnya kita nak lihat perlombongan yang selamat dan tak susahkan masyarakat sekeliling serta mesra alam kerana ia melibatkan kerja-kerja pengorekan tanah,"katanya.

Media sebelum ini melaporkan aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi ditemukan di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu dan disusuli di Sungai Muntoh, Titi Jelebu pada 25 Mei lalu.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menawarkan ganjaran kepada individu yang memberi maklumat berhubung aktiviti itu dengan identiti mereka akan dirahsiakan.