Isu Lynas: Kerajaan tersepit kerana pinjaman Jepun, kata Fuziah

Kilang Lynas yang beroperasi di Gebeng. Gambar kecil, Fuziah
A
A

KUALA LUMPUR – Terkesan dengan kritikan negatif rakyat Malaysia, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menjelaskan situasi sebenar berhubung kilang nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng.

Beliau berkata, kerajaan tersepit berhubung isu Lynas kerana pihak yang mendapat manfaat daripada hasil nadir bumi diproses di kilang tersebut ialah Jepun.

Pada masa sama katanya, Jepun adalah negara yang meminjamkan wang kepada Malaysia dalam bentuk Bon Samurai.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini merupakan antara yang lantang mengkritik Lynas dan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai punca hutang negara terlalu tinggi sehingga menekan negara meminjam wang daripada Jepun.

“Saya ingin maklumkan Jepun merupakan benefisiari mutlak daripada hasil REE (unsur nadir bumi) kilang Lynas.

“Mungkinkah pelabur-pelabur di Jepun akan berdiam diri sekiranya Lynas tidak dapat meneruskan bekalan REE kepada mereka?” katanya dalam surat terbuka kepada rakyat Malaysia yang ditulis dari Makkah, hari ini.

Fuziah menambah, sekiranya Malaysia tidak meluluskan lesen operasi Lynas ia akan mengakibatkan industri hiliran di Jepun akan lumpuh.

“Bayangkan keadaan tersepit yang kita berada kini,” ujarnya.

Semalam, kerajaan dilaporkan akan mengumumkan keputusan memperbaharui lesen operasi Lynas di Gebeng selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lanjut permit Lynas bukan keputusan paling ideal: Menteri

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada pembuangan sisa radioaktif daripada loji pemprosesan Lynas perlu dihantar ke negara asal Australia atau sebaliknya.

Susulan itu, Fuziah menegaskan, beliau kekal dengan pendirian dahulu, iaitu Lynas tidak patut dibenarkan beroperasi dan menyimpan sisa pembuangan radioaktif yang akan membawa kesan negatif dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana ada sekelompok ahli Kabinet terdahulu daripada BN yang masih terpedaya dengan Lynas dan bersungguh-sungguh mempertahankan syarikat nadir bumi Australia itu.

“Ketika kita menentang Lynas, ahli Kabinet ini ketika itu bersama kerajaan terdahulu serta mereka memahami isu Lynas dari kaca penilaian kerajaan terdahulu dan gagal memahami isu sebenar tentang Lynas yang diperjuangkan oleh saya dan rakan-rakan.

“Mereka menganggap isu ini isu politik ketika itu dan mereka kekal dalam kefahaman tersebut. Tambahan pula, isu Lynas ini agak teknikal dan sukar difahami, mungkin itu juga sebab mereka gagal memahaminya,” kata Fuziah.

Hal demikian, Ahli Parlimen Kuantan itu mengingatkan bekas ahli Kabinet itu supaya tidak meletakkan keuntungan pelaburan melebihi keselamatan dan kepentingan rakyat.

Katanya, Malaysia tidak menerima cukai sesen pun daripada Lynas sejak 2012 kerana kerajaan terdahulu memberi status “perintis strategik” yang membolehkan syarikat itu menikmati pengecualian cukai selama 12 tahun.

“Industri hiliran yang mendapat manfaat pula bukan industri dalam negara.Ianya cukup tidak berbaloi. Sebaliknya kita terperangkap dengan isu pengurusan sisa buangan radioaktif yang bertimbun seperti gunung.

“Semoga Kabinet diberi petunjuk dan hidayah untuk membuat keputusan terbaik 15 Ogos ini,” katanya.