Perpaduan tidak tergugat dengan cerita palsu, fitnah

Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.
Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.
A
A
A

IPOH - Konsep perpaduan dan penyatuan antara rakyat di negara ini tidak tergugat biarpun di ambang kemodenan yang memperlihatkan cerita-cerita palsu dan fitnah bertebaran di media sosial.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan itu didasari penyatuan rakyat berbilang kaum meskipun berbeza warna kulit dan pegangan agama yang menjadi tunjang kepada kekuatan, kemajuan dan pembangunan dalam negara pada masa kini.

"Ketika membuat sesuatu dasar, kita tidak hanya memikirkan mengenai keselesaan atau faedah yang diperolehi oleh satu kaum semata-mata sebaliknya turut mempertimbangkan kesan pembangunan yang akan dirasai semua pihak.

"Atas sebab itu, kita berjaya memimumkan rasa cemburu atau tidak puas hati antara sesuatu kaum dengan kaum yang lain," katanya ketika berucap merasmikan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.

Hasnul Zulkarnain melihat secara dekat grafiti Malaysiaku dihasilkan sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.
Hasnul Zulkarnain melihat secara dekat grafiti Malaysiaku dihasilkan sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.

Teks beliau pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu dibacakan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, realitinya sekarang bukanlah tiada langsung isu timbul namun ia berjaya diselesaikan secara bermusyawarah dengan persetujuan bersama yang memberi kebaikan kepada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Inilah satu bentuk kejayaan yang sering dicemburui dunia luar terhadap kita. Ketika mereka saling berbunuhan sesama sendiri, kita kekal bersatu di bawah satu bendera yang sama untuk terus mara ke depan demi memperbaiki taraf hidup dan menjamin kemakmuran bagi diwarisi anak cucu kita pada masa akan datang," katanya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (kiri) menerima Jalur Gemilang daripada Hasnul Zulkarnain mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (kiri) menerima Jalur Gemilang daripada Hasnul Zulkarnain mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau turut mengingatkan bahawa tidak cukup dengan hanya mengibarkan Jalur Gemilang, setiap rakyat perlu memahami maksud tersirat di sebalik reka bentuk dan warna yang terdapat pada Jalur Gemilang.

Sempena majlis berkenaan, pelbagai aktiviti diadakan termasuk 10,000 langkah kemerdekaan, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, grafiti Malaysiaku, ziarah kasih, merdekarobik, pertandingan bintang patriotik dan pertandingan mewarna.

Turut dilancarkan adalah pelepasan konvoi 30 kenderaan mewakili jabatan dan agensi di Perak yang akan menjelajah semua daerah bermula semalam hingga 31 Ogos ini.