Siapa main Jumanji di Terengganu?

No Image Caption
A
A
A

MACAM filem Jumanji! Itu antara reaksi netizen terhadap kemunculan pelbagai haiwan liar yang hampir pupus di Terengganu sejak beberapa minggu lalu.

Bermula dengan kemunculan sepasang paus pembunuh, Orcinus orca yang julung kalinya dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh pada 16 Julai lalu, detik bersejarah itu turut berjaya dirakam kakitangan di situ untuk tatapan orang ramai.

Dua hari selepas itu, netizen digemparkan pula dengan kehadiran harimau ‘jinak’ di Kampung Besol Lama di Bukit Besi, Dungun, sebelum usaha menjejak serta penangkapan dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Bagaimanapun, harimau yang digelar Awang Besol itu dilaporkan mati selepas beberapa hari berada dalam pantauan Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak akibat virus canine distemper yang menyerang fungsi otak sekali gus menyebabkan kecelaruan minda.

Belum reda kisah Awang Besol, netizen dikejutkan pula dengan berita seekor beruang matahari yang berjaya ditangkap Perhilitan di sebuah kampung di Felda Belara, Kuala Terengganu, pada 23 Julai lalu.

Beruang hitam seberat 70 kilogram (kg) yang dianggap berbahaya serta mampu mengancam nyawa penduduk di situ telah dikesan berlegar-legar di Felda tersebut sejak tiga minggu sebelum usaha memasang perangkap dilakukan Perhilitan.

Tidak terhenti di situ, kisah ‘Jumanji’ di negeri penyu itu diteruskan dengan kehadiran sekumpulan paus pilot sirip pendek atau short finned pilot whale yang muncul buat pertama kali di perairan negeri itu.

Spesies haiwan yang hampir pupus dengan nama saintifiknya Globicephala macrorhynchus itu turut dikesan berenang berhampiran Pulau Perhentian di perairan Besut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, di saat ramai yang teruja dengan kehadiran paus pilot sirip itu, netizen kembali kecoh apabila seekor rusa betina dilanggar motosikal di Kilometer 107 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhadapan Terminal Minyak Mentah Terengganu (TCOT), Kerteh, pada 27 Julai lalu.

Selepas dua hari, seekor gajah betina pula menerima nasib sama setelah dilanggar sebuah treler dengan muatan bijih besi di Kilometer 44, Jalan Kuala Berang-Aring, Terengganu.Kisah demi kisah kemunculan haiwan liar di Terengganu nyata mendapat reaksi yang pelbagai daripada netizen.

Walaupun ada yang menyamakan dengan filem Jumanji lakonan Robin Williams yang cukup popular pada tahun 1995 itu, ada juga yang memberikan reaksi yang sebaliknya.

Cubalah kita keluar sejenak daripada gambaran fantasi dan kelucuan ini, perhatikan alam sekitar serta ekosistem hutan yang menjadi habitat asal haiwan-haiwan liar, kini dilihat sering kali menjadi mangsa kerakusan manusia tidak bertanggungjawab.

Kerakusan yang berlaku pada hari ini seolah-olah tiada penghujungnya. Buktinya hampir saban hari pelbagai isu berkaitan alam sekitar termasuk penerokaan hutan secara haram dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan di negara ini.

Tidak terkecuali di Terengganu, pada tahun 2015, Jabatan Perhutanan Terengganu mengesan dua kawasan hutan simpan di negeri ini telah menjadi sasaran kegiatan pembalakan haram iaitu Hutan Simpan Rasau, Kertih, Kemaman dan Hutan Simpan Pelagat serta Hutan Simpan Gunung Tebu, di Besut.

Meskipun pelbagai usaha pencegahan dilakukan, kegiatan itu sukar dibendung malah pada November tahun lalu, sindiket ‘lanun rimba’ di negeri ini terutama di daerah Besut dilihat semakin agresif apabila dilaporkan berani mengasari pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) ketika melakukan operasi.

Terbaharu wujudnya dakwaan projek pembalakan dan perlombongan haram di Bukit Besi, Dungun, sehingga mengundang kehadiran harimau termasuk kes Awang Besol di kawasan perkampungan penduduk di situ.

Bagaimanapun, kerajaan Terengganu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut, malah Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklumat daripada Perhilitan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

*Arney Syema Anua ialah Penolong Editor Sinar Online