Sistem pagar elektrik elak gangguan gajah liar

Pegawai Perhilitan Perak melaksanakan kerja-kerja pemasangan sistem pagar elektrik di SK Pos Perwor, Sungai Siput. - Foto ihsan Perhilitan Perak
Pegawai Perhilitan Perak melaksanakan kerja-kerja pemasangan sistem pagar elektrik di SK Pos Perwor, Sungai Siput. - Foto ihsan Perhilitan Perak
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak melaksanakan pembinaan sistem pagar elektrik di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Perwor dekat Lasah di sini.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, tindakan itu merupakan langkah efektif bagi mengekang gangguan gajah liar yang telah merosakkan bangunan dan kelengkapan sekolah, Jun lalu.

"Pemasangan siap dilakukan pada 17 hingga 23 Julai lalu di sekeliling sekolah dan asrama di Pos Perwor dengan jarak dianggarkan 900 meter.

"Langkah ini bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan terlibat sekali gus mengelakkan kerugian berterusan kepada pihak sekolah," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut beliau, sistem pagar elektrik ini akan diselenggarakan oleh pihak sekolah dan penduduk setempat.

"Kita bertindak sebagai pemberi nasihat teknikal dan latihan.

"Kita juga akan membantu sekiranya terdapat kerosakan pada sistem pagar elektrik ini," katanya.

Yusoff berkata, tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang.

Apatah lagi katanya, kawasan sekolah tersebut terletak berhampiran dengan Hutan Simpan Piah dipercayai mempunyai populasi gajah liar melebihi 26 ekor.

"Penduduk juga diingatkan untuk melaporkan segera kehadiran haiwan liar ini kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sinar Harian melaporkan bangunan dan beberapa kelengkapan SK Pos Perwor mengalami kerosakan teruk selepas diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian pada 8 Jun lalu.

Serangan sekitar jam 2 pagi itu mengakibatkan kerosakan di bahagian tingkap kelas prasekolah dengan jeriji besi bengkok dan cermin pecah.

Maklumat awal diterima Perhilitan mengatakan terdapat enam ekor gajah memasuki kawasan sekolah berkenaan.

Beberapa anggota daripada Unit Tindakan Gajah (UTG) telah ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat bagi tujuan kawalan dan pemantauan.

Pada 12 Julai lalu, Perhilitan melaksanakan operasi memindahkan seekor gajah yang dilaporkan mengganggu penduduk Orang Asli di Pos Perwor.