Tulisan jawi, khat tidak patut dipolitikkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TULISAN Melayu huruf Arab yang telah digunakan sejak kedatangan Islam di Nusantara dikenali dengan nama tulisan jawi. Tulisan jawi digunakan secara meluas oleh orang Melayu dalam pelbagai bidang penulisan dan kesenian.

Seni tulisan khat pula lebih popular dijadikan sebagai hiasan di dinding rumah, pejabat, sekolah ataupun kedai. Ia boleh dihasilkan dalam pelbagai motif.

Hari ini tulisan jawi dan khat semakin terpinggir dan dipinggirkan. Justeru, pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa tulisan jawi akan digunakan dalam buku teks di semua sekolah termasuk SJK Cina dan SJK Tamil amat dialu-alukan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Menurut kementerian, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat bantahan dua pertubuhan Cina iaitu Dong Zong dan Jiao Zong.

Bantahan turut disertai oleh seramai 138 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, malah dilaporkan mereka bertekad mahu mengadakan perhimpunan membantah tindakan Kementerian Pendidikan itu.

Dalam hal ini, mereka yang membantah seharusnya lebih terbuka kerana tulisan jawi dan khat tidak ada kena-mengena dengan agama.

Artikel Berkaitan:

Sasterawan dan pejuang bahasa berketurunan Cina, Dr Lim Swee Tin sendiri tidak melihat sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.

Kita menyambut baik dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek atas ketegasan mempertahankan pengajaran khat jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain untuk mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan Malaysia istimewa, sekaligus isu ini tidak perlu dipolitikkan lagi.

Namun pada masa yang sama, orang Melayu juga perlu bersikap terbuka sekiranya selepas ini Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Cina dan India dalam buku teks di semua sekolah.