Apa dah jadi dengan projek PPAM?

Sebahagian pemilik rumah PPAM Taman Sri Asoka, Tapah mengadakan perhimpunan aman menggesa pemaju menyiapkan rumah mereka dengan campur tangan kerajaan.
Sebahagian pemilik rumah PPAM Taman Sri Asoka, Tapah mengadakan perhimpunan aman menggesa pemaju menyiapkan rumah mereka dengan campur tangan kerajaan.
A
A
A

TAPAH - Lebih 20 kakitangan awam buntu selepas kediaman dibeli mereka di bawah projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman Sri Asoka, di sini masih belum disiapkan.

Bukan sahaja tidak dapat mendiami rumah yang sepatutnya siap sepenuhnya Jun tahun lalu, kesemua pembeli rumah turut tertekan apabila bayaran pinjaman sudah dilakukan melalui potongan gaji antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan bermula Julai 2018.

Bagi Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, Raja Ibrahim Putera Raja Mustapha berkata, dia tidak menyangka rumah yang dibelinya di bawah projek PPAM akan berakhir sedemikian rupa.

"Projek pembinaan fasa keempat di Taman Sri Asoka ini merupakan rumah PPAM melibatkan 69 unit, mula dibina pada 2016 dan dijangka siap Jun 2018, namun sehingga hari ini rumah kami tidak disiapkan.

"Pada mulanya, kami tidak menyangka ia akan berakhir seperti ini memandangkan projek PPAM di Tapah ini mendapat sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya ketika ditemui pemberita di tapak pembinaan kediaman terbabit di Taman Sri Asoka, di sini hari ini.

RAJA IBRAHIM
RAJA IBRAHIM

Menurut Raja Ibrahim, pihaknya sudah membawa perkara ini kepada pengetahuan KPKT serta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), namun masalah terbabit belum dapat diselesaikan sehingga kini.

"Kali terakhir, saya menerima khabar pihak pemaju telah berjumpa dengan KPKT dan memaklumkan akan menyiapkan pembinaan rumah kami antara hujung tahun ini sehingga awal tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Pemaju sepatutnya datang menyambung kerja pembinaan minggu lepas, namun sampai sekarang mereka tidak muncul selepas membiarkan rumah kami tidak siap sejak tahun lepas," katanya.

Seorang lagi pembeli, Faizul Ruzi Mohd Fadzir, 36, berkata, dia bekerja di Jasin dan membeli rumah berkenaan memandangkan kampung halamannya di Perak, namun tidak menyangka pembinaannya dihentikan.

"Kecewa, itu yang saya rasa sebab ini rumah pertama, gaji dah potong bulan-bulan tapi masih belum dapat rumah.

FAIZUL RUZI
FAIZUL RUZI

"Saya terpaksa bayar duit sewa rumah lagi serta duit rumah yang masih belum siap ini.

"Saya berharap pihak kerajaan dapat bantu kami kerana kami kakitangan awam. Kalau kerajaan tak bantu pekerjanya, siapa lagi dan jangan biarkan kami seperti ini," katanya.

Sementara itu, Pejabat Menteri KPKT ketika dihubungi memaklumkan agar pembeli rumah PPAM di Taman Sri Asoka, Tapah membuat aduan bertulis menggunakan alamat Pejabat Menteri KPKT.

"Mohon buat aduan bertulis, alamatkan kepada pejabat YB Menteri dan juga kepada Jabatan Perumahan Negara," jawabnya ringkas.