14 kawasan aedes di Kuantan

410923
410923
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 14 kawasan membabitkan 510 kes demam denggi berpunca daripada nyamuk aedes dikesan di daerah ini dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Dr Fatimah Abdul Majid berkata, sebagai contoh di kawasan Balok Pine, bahagian penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah telah mengeluarkan kira-kira 22 kompaun berjumlah RM11,000 kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kompaun itu dikeluarkan kerana beberapa kediaman didapati memiliki jentik-jentik nyamuk aedes dalam kawasan rumah mereka dalam tempoh enam bulan tahun ini.

“Berdasarkan rekod, perumahan Balok Pine adalah kawasan wabak denggi apabila sebanyak 30 kes demam denggi dicatat Januari hingga Jun.

“Jadi, tindakan tegas telah kita lakukan dengan mengenakan kompaun pada penduduk yang menyimpan jentik-jentik aedes di kawasan rumah mereka, kompaun RM500 terpaksa dikenakan terhadap individu yang bersikap cuai," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sifar Tempat Pembiakan Aedes di Taman Awam Balok Pine di sini.

Program gotong-royong itu dianjurkan Pejabat Kesihatan Daerah turut disertai agensi berkaitan seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Swcoap dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Pine.

Pelbagai acara diadakan seperti cabutan bertuah, pameran, pertandingan mengumpul sampah dan penerangan berkaitan nyamuk aedes.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Fatimah berkata, di kawasan Mukim Beserah, terdapat lima kampung terbabit dengan kes denggi.

Katanya, antaranya Kampung Rumbia, Kampung Masjid, Kampung Pantai Beserah, Kampung Pelindung Pantai dan Kampung Bugis.

“Jadi, masyarakat tidak boleh terlalu bergantung pada pihak lain untuk menjaga kebersihan di sekeliling rumah mereka, sebaliknya mereka sendiri kena berubah.

“Jika semua ada sikap menjaga kebersihan persekitaran rumah masing-masing, masalah denggi dapat dikurangkan,” katanya.

Dr Fatimah berkata, selain mempergiatkan kempen menjaga kebersihan dan melupuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekeliling rumah, tindakan penguatkuasaan juga turut dilakukan secara berterusan.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Balok Pine, Asbollah Ibrahim berkata, setakat ini lebih 15 penduduk di Taman Perumahan Balok Pine, di sini dikenakan kompaun RM500 seorang kerana dikesan membiak jentik-jentik di kediaman mereka.

Katanya, punca denggi disebabkan kera yang mengutip sampah dari taman perumahan itu membawa ke hutan berhampiran.

Selain itu, beliau berharap tindakan tegas itu dapat memberi pengajaran kepada penduduk taman perumahan yang dihuni kira-kira 1,000 orang membabitkan 261 kediaman.