KKM kaji sistem pembiayaan kesihatan

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan kajian terperinci berhubung sistem pembiayaan kesihatan bagi tujuan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian itu dilakukan selaras dengan komitmennya untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat, sekali gus memastikan mereka mendapat akses kepada penjagaan kesihatan terbaik.

"Sebahagian besar (pembiayaan kesihatan), 50 peratus dibiayai oleh sektor awam atau kerajaan Persekutuan manakala hampir 38 peratus pula adalah melalui ‘out of pocket expenditure’ oleh rakyat apabila mereka terpaksa pergi ke klinik atau hospital swasta.

"Satu hari nanti, kita harap akan dapat merangka sebuah sistem pembiayaan kesihatan yang mana bukan hanya meletakkan kerajaan, tetapi seluruhnya termasuklah daripada pihak swasta, syarikat insurans, dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk digemblengkan dalam satu sistem pembayaran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa 2019 Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata kementeriannya akan memperkukuh kerjasama antara pihak awam dan swasta dalam membantu sektor kesihatan menjadi lebih teguh, terutamanya daripada aspek kewangan dan perbelanjaan.

"Ketika kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan untuk berbelanja dari segi membina fasiliti kesihatan, saya memandang kepada pihak swasta untuk membantu mempergiatkan sektor kesihatan daripada sudut perbelanjaan yang mereka (pihak swasta) boleh laburkan," tambahnya.

Pada majlis itu, beliau melancarkan empat buku panduan yang memberi panduan dan memudahkan perniagaan dalam industri penjagaan kesihatan swasta dalam usahanya mematuhi keperluan teknikal untuk menubuhkan sebuah hospital swasta baharu.

Artikel Berkaitan:

Buku panduan itu ialah ‘Handbook on Setting Up of Private Hospitals in Malaysia: Submission Process and Harmonisation of Technical Requirements’; ‘Handbook on Setting Up New Private Hospital in Malaysia: Requirement and Procedures Under Act 586’; ‘License Renewal Application Procedure for Private Hospitals’ dan ‘Guidelines for Expanding or Modifying Private Hospitals’.

Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa 2019 APHM disertai oleh 700 delegasi dan lebih 150 pempamer termasuk UM Specialist Centre Sdn Bhd.

Pameran yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula hari ini hingga Rabu itu memaparkan beberapa peralatan perubatan terkini, peranti perubatan, sistem maklumat hospital, fisioterapi dan pemulihan serta program pendidikan penjagaan kesihatan. -Bernama